Rabu, 16 Mac 2011

Kerajaan Kelantan perjelas isu ambil tanah untuk lading rakyat

BERNAMA

KOTA BAHARU — Kerajaan PAS Kelantan menganggap sebagai tidak tepat laporan akhbar yang menyatakan kerajaan negeri merampas tanah penduduk Kampung Serian, Gua Musang tanpa perbincangan dan membayar pampasan kepada pemiliknya untuk membangunkan Projek Ladang Rakyat.

Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob menjelaskan kerajaan negeri mengadakan perbincangan sebelum projek itu dimulakan pada 2006 di Masjid Kampung Batu II di mana penduduk setempat memberi kerjasama menunjukkan kawasan yang mereka usahakan agar tidak termasuk dalam kawasan yang akan dibangunkan untuk projek itu.

“Laporan akhbar yang menyatakan 880 hektar tanah di Kampung Serian akan diambil untuk membangunkan projek Ladang Rakyat adalah tidak tepat,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar berhubung 880 hektar tanah di Kampung Serian, akan diambil untuk membangunkan Ladang Rakyat buat kali kedua selepas 400 hektar kebun penduduk dirampas dua tahun lepas tanpa mendapat pampasan dan tanpa perbincangan dengan penduduk.

Ahmad, yang juga Pengerusi Perbadanan Ladang Rakyat Kelantan, berkata projek itu dilaksanakan setelah mengambil kira kawasan ditunjukkan penduduk, selain pelan kawasan kemudiannya dibuat oleh pihak juru ukur dilantik kerajaan negeri secara pelan “pra-perhitungan”.

Ahmad berkata pihaknya bersetuju mengeluarkan lebih 1,400 hektar dari kawasan asal Ladang Rakyat untuk diserah kepada penduduk setempat.

Tiada ulasan: