Jimadie Shah Othman
Setelah menerima tamparan akibat "pengunduran' tiga wakil masyarakat India daripada panel bebas Interlok semalam, Presiden MIC Datuk G Palanivel hari ini mengadakan pertemuan dengan kumpulan itu.
Bagaimanapun penulis Uthaya Sankar SB yang hadir bersama bekas pegawai Kementerian Pelajaran G Krishnabahawan di ibu pejabat MIC di Kuala Lumpur pagi tadi, sesi itu bukanlah mesyuarat, sebaliknya hanya taklimat.
"Kami hanya memberikan penerangan apa sebenarnya yang berlaku dalam pertemuan di parlimen kelmarin supaya mereka faham," katanya sambil menyifatkan pertemuan itu hanya berlangsung 30 minit.
"Dia akhirnya faham dan berkata akan mengeluarkan kenyataan kepada media berhubung perkara ini. Saya tidak bolehlah bercakap bagi pihaknya."
Pengarah Pusat Pendidikan Global Aminuddin Baki Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Dr NS Rajendran tidak hadir dalam pertemuan pagi tadi.
Ketika dihubungi Malaysiakini tengah hari ini, Uthaya juga menafikan pertemuan itu diadakan bertujuan memujuk mereka supaya kembali mengganggotai panel tersebut.
"Tak timbul soal pujuk memujuk. Kami datang bukan untuk dipujuk," katanya tegas sambil menegaskan mereka tetap berpegang pada perakuan yang disepakati dalam sidang terakhir panel itu pada 4 Mac lalu.
Diminta mengulas tentang kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa berita "pengunduran" mereka adalah salah faham semata-mata, Uthaya menjawab:
"Kami tidak dihubungi mana-mana pihak. Dan kalau kata ini hanyalah salah faham, boleh rujuk blog saya yang menceritakan kandungan pertemuan itu. Ini bukan salah faham."
Semalam, Muhyiddih bertegas bahawa tiga wakil masyarakat India itu belum mengundurkan diri dan berkata apa yang berlaku semalam adalah “salah faham”.
Katanya, beliau telah dihubungi oleh Presiden MIC, Datuk G Palanivel yang memberi jaminan bahawa ketiga-tiga mereka akan tetap berada dalam jawatankuasa itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan