M Faqih |
KOTA BHARU: Sejak 20 tahun lalu rakyat negeri ini tanpa mengira kaum dan agama faham, Kelantan berbeza dengan negeri lain kerana tiada premis perjudian dan pusat-pusat hiburan. Malah kelebihan itu menjadi instrumen utama bagi menarik kehadiran pelancong ke negeri ini, sehingga Kota Bharu dan Rantau Panjang sesak setiap kali musim cuti persekolahan. Masyarakat bukan Islam juga faham keharmonian hidup mulai dirasai kerana perbuatan yang menyalahi moral dikawal kerajaan negeri. Bukan setakat itu sahaja, ada isteri penduduk bukan Islam datang menemui Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat merakam ucapan tahniah kepada kerajaan negeri kerana bertindak mengharamkan premis perjudian. Kata nyonya terbabit sebelum ini keluarganya porak peranda kerana suami suka berjudi. Anehnya selepas 20 tahun keharmonian dalam kehidupan masyarakat berlangsung, tiba-tiba ada pihak yang mempertikaikan langkah Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI) menyerbu tempat menjual loteri secara gelap. Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim berkata, tindakan MPKB BRI menyerbu premis yang disyaki menjual loteri sepatutnya disokong semua pihak. “Rakyat Kelantan tanpa mengira agama dan kaum sudah faham, perbuatan judi mendatangkan banyak kesan negatif. Rumah tangga porak peranda, anak-anak terbiar. “Jadi langkah pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan kerana ada pihak yang melanggar peraturan sesuatu yang perlu dipuji. “Tidak berbangkit PBT tidak berbincang dengan premis berkenaan kerana tuan punya kedai tahu mereka melanggar peraturan,” katanya di sini. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini dilaporkan berkata, tindakan kerajaan negeri mengharamkan penjualan tiket loteri memperlihatkan wajah sebenar PAS melayan masyarakat bukan Islam. Malah ada pemimpin masyarakat bukan Islam di sini berhujah tindakan membanteras premis perjudian boleh mengurangkan sokongan masyarakat bukan Islam terhadap PAS. Mohd Zaki yang juga Timbalan Speaker Dun Kelantan berkata, setiap premis peniagaan menjalankan urusniaga berdasar kepada permohonan lesen yang dibuat. “Tak kan pula kedai menjual buku mengambil kesempatan menjual benda lain yang tidak terkandung dalam syarat lesen premis seperti yang dimohon kepada MPKB BRI. “Lebih-lebih lagi kalau mereka menjual tiket loteri lagilah salah kerana ia bertentangan peraturan PBT di negeri ini,” katanya. Oleh itu beliau menyifatkan kenyataan Muhyiddin Yassin mempertikaikan langkah Kelantan mengharamkan judi sebagai mempersendakan agama sendiri. Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri, Abdullah Ya’kob berkata, tindakan tegas PBT membanteras pihak yang melanggar peraturan dapat menyelamatkan gejala sosial daripada terus menular. |
Rabu, 9 Mac 2011
Judi: Muhyiddin persenda Islam
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan