Khamis, 17 Mac 2011

Jepun perlu lima tahun pulih, kos bantuan dijangka RM180 bilion

LAPORAN – Reuters

Gambar gabungan dirakamkan satelit menunjukkan timur laut pesisir pantai Jepun sebelum (kiri) dan selepas dilanda tsunami Jumaat lalu. – Foto Reuters
TOKYO – Jepun kemungkinan memerlukan sekurang-kurangnya lima trilion yen (sekitar RM180 bilion) bagi menampung kos bantuan bencana berganda di sebelah timur laut negara itu dan kemungkinan terpaksa mendorong kepada jualan bon untuk menambah dana.

Kerja-kerja pembinaan semula pula dijangka memakan masa lebih lima tahun berbanding situasi di Kobe, yang dilanda gempa bumi pada 1995.

Kos operasi bantuan dan pembinaan semula selepas gempa bumi skala 9 pada Jumaat lalu sudah pasti mencecah tiga trilion yen (RM111 bilion) yang dibelanjakan selepas gempa Kobe pada 1995 dan kemungkinan mencecah lima trilion yen seperti yang diramalkan pembangkang utama Parti Liberal Demokratik, kata Keiichi Ishii iaitu ketua dasar New Komeito, parti pembangkang kedua terbesar negara itu.

“Ada kemungkinan perlunya terbitan bon-bon menampung defisit,” kata beliau kepada Reuters.

Ishii berkata kerajaan harus memberi tumpuan untuk memotong perbelanjaan-perbelanjaan lain yang kurang diperlukan agar dapat berjimat cermat bagi kerja-kerja pembinaan semula sebelum membuat pinjaman dengan menerbitkan bon-bon baru.

Katanya, salah satu opsyen ialah menyalurkan wang daripada perbelanjaan-perbelanjaan yang tidak perlu seperti dana yang diperuntukkan untuk penambahbaikan faedah-faedah sokongan kanak-kanak dalam bajet tahunan kewangan akan datang bermula April ini.

“Terbitan bon kemungkinan kelihatan ketara buat sementara. Tetapi kerajaan perlu menunjukkan bahawa ia akan cuba untuk meletakkan terbitan bon baru serendah yang boleh dengan memotong apa yang boleh dalam bajet negara,” katanya lagi.

Katanya lagi, kerajaan harus timbang untuk mengatasi ketidakstabilan pasaran kewangan dengan langkah-langkah seperti melarang jualan singkat saham atau campur tangan dalam pasaran mata wang dengan mengawal kenaikan nilai yen.

Ishii dilihat sebagai pemimpin yang mahir dalam hal ehwal kewangan dan pernah berkhidmat sebagai timbalan menteri kewangan di bawah LDP sebelum parti itu kalah kepada Parti Demokratik pada 2009.

Kerajaan Perdana Menteri Jepun Naoto Kan memerlukan kerjasama parti-parti pembangkang seperti New Komeito untuk meluluskan bajet di Parlimen yang kekuatannya kini berbelah bahagi.

Dalam pada itu, laporan Reuters dari Amsterdam pula berkata, Jepun memerlukan lima tahun untuk kembali pulih daripada kemusnahan dan kerosakan dialami sekarang.

Meskipun Jepun, pasaran pembinaan ketiga terbesar di dunia itu, mempunyai sumber, kemahiran dan kepaduan untuk membina semula dengan cepat, tetapi bencana kali ini kemungkinan akan menyebabkan ia berfikir dengan mendalam mengenai perancangan dan perlindungan.

Selain gempa bumi dan tsunami ia juga berhadapan dengan krisis nuklear.

“Proses pembinaan semula selepas gempa bumi Kobe di Jepun pada 1995 mengambil masa kurang lima tahun. Saya menjangkakan pembinaan semula di sini akan mengambil masa sekurang-kurangnya lima tahun,” kata Abhas Jha, ketua program unit pengurusan risiko Asia Timur, Bank Dunia.

Ada yang meramalkan kos pemulihan dan pembinaan semula dijangka menelan hampir RM530 bilion (AS$180 bilion) atau tiga peratus output ekonomi tahunan Jepun.

Bagaimanapun Jha mengingatkan bahawa angka itu lazimnya akan disemak semula.

“Ini adalah bencana sekali dalam setiap 100 hingga 20 tahun,” kata Hirokazu Anai, penganalisis kanan di J.P. Morgan Securities di Jepun.

“Ini akan memaksa kami untuk berubah dalam pemikiran infrastruktur dan peraturan keselamatan, dan ia akan memakan masa,” katanya lagi.

Tiada ulasan: