Sabtu, 12 Mac 2011

JAIP kesan kumpulan ajaran sesat Tarekat Naqsyabandiah

BERNAMA

IPOH — Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) telah mengenal pasti sebuah kumpulan tarekat yang aktif di Sungkai dekat Slim River sebagai kumpulan yang menyimpang daripada ajaran Islam.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) Mohd Yusop Husin berkata Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak akan mengeluarkan warta terhadap kumpulan itu tidak lama lagi kerana melakukan amalan haram dan menyimpang.

Beliau berkata kumpulan yang mempunyai kira-kira 100 pengikut itu mengikut ajaran Tarekat Naqsyabandiah Al Kholidiyah tetapi ia didapati tidak selari dengan amalan tarekat berkenaan.

“Fatwa akan diwartakan tidak lama lagi oleh jawatankuasa yang dipengerusikan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata antara amalan yang menyimpang ialah pengikutnya mengerjakan ibadat haji secara ghaib, berpegang bahawa semua orang boleh melakukan israk mikraj, mengamalkan amalan bertawassul dengan wali, mandi air zam-zam, air kauthar dan air mahfuz sebagai membuka hijab dan makrifat murid serta mewajibkan mandi taubat dan sujud taubat sebagai syarat menyertai tarekat.

Kumpulan itu dikenali sebagai Tarekat Naqsyabandiah Al Kholidiyah Kampung Menderang.

Mohd Yusop berkata walaupun kumpulan itu mengikut amalan tarekat muktabar Terekat Naqsyabandiah tetapi ada amalan tertentu yang didapati berlawanan dan bertentangan dengan Islam.

Beliau menasihati umat Islam berhati-hati apabila mengikut dan mempelajari ilmu agama daripada mana-mana kumpulan supaya tidak terjebak dengan ajaran yang menyimpang dengan agama Islam.

Sebelum ini Perak telah mewartakan 14 ajaran atau kumpulan sebagai sesat.

Tiada ulasan: