Jumaat, 18 Mac 2011

Interlok: Kekal keputusan panel atau gugur terus, kata wakil kaum India


KUALA LUMPUR, — Wakil kaum India dalam panel bebas mengkaji pindaan novel kontroversi Interlok kekal dengan pendirian mereka sambil menegaskan, tidak akan menerima sebarang perubahan pindaan dibuat susulan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin.

Sebaliknya ketiga-tiga wakil kaum India itu berkata segala pindaan yang bakal dilakukan Kementerian Pelajaran mesti mengikut keputusan yang telah dipersetujui pada 4 Mac lalu.

Malah kata mereka, jika pindaan itu tidak dibuat sebagaimana diputuskan, lebih baik novel tersebut “dikeluarkan terus” daripada dijadikan sukatan teks sastera.

Kabinet dalam mesyuarat mingguannya hari ini dijangka membincangkan isu itu.

Menurut salah seorang ahli panel itu Uthaya Sankar, dalam pertemuan dengan Muhyiddin kelmarin Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran itu meminta agar wakil kaum India menyenaraipendekkan elemen yang menyentuh sensitiviti kaum India.

Bagaimanapun kata penulis bebas itu, selepas proses menyenarai pendek itu selesai ia mendapat bantahan keras daripada ahli panel lain yang hanya mahukan perkataan “paria” sahaja digugurkan dari novel Interlok yang kini dijadikan sebagai teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk murid Tingkatan Lima.

Selain Uthaya dia wakil kaum India ialah Pengarah Pusat Pendidikan Global Aminuddin Baki Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Dr N.S Rajendran dan bekas pegawai Kementerian Pelajaran, G Krishnabahawan turut mengambil langkah sama.

Dalam kenyataan yang diposkan menerusi blog Uthaya, kenyataan bersama mereka berkata: “Pendirian Dr N. S. Rajendran, G. Krishnabahawan dan Uthaya Sankar SB adalah bahawa sekiranya segala perkara yang menyentuh sensitiviti mana-mana kaum, kesalahan bahasa dan kesalahan fakta dalam novel Interlok edisi murid (DBP: 2010) tidak “dimurnikan” (disunting) seperti dicadangkan, maka novel berkenaan perlu dikeluarkan terus daripada dijadikan teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) kerana melanggar syarat dan kriteria pemilihan buku teks sekolah sebagaimana ditetapkan Kementerian Pelajaran Malaysia.”

Penggunaan novel hasil karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain hanya melibatkan Zon 2 iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan.

“Kami diminta untuk senaraipendekkan elemen-elemen yang benar-benar menyentuh sensitiviti kaum India tetapi selepas proses itu semua cadangan pindaan kami ditolak satu persatu kerana dikatakan tidak sensitif.

“Kami bertolak ansur dengan mengikut cadangan Timbalan Perdana Menteri tapi bila kita buat cadangan pindaan itu ditolak sedangkan cadangan kami ini telah dipersetujui pada 4 Mac dan sudah dihantar kepada Kementerian Pelajaran.

“Salah seorang ahli panel menolak kesemua pindaan yang kami cadangkan dan sekurang-kurang dua ahli panel yang meminta agar perkataan ‘paria’ sahaja yang dipinda manakala yang lain tidak perlu,” kata Uthaya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Panel itu telah mengadakan tiga mesyuarat termasuk yang terakhir pada 4 Mac.

Justeru kata Uthaya, pihak tidak akan bersetuju sama sekali dengan sebarang pindaan yang dibuat semalam oleh ahli panel lain.

Jelas beliau keengganan panel bebas menerima cadangan pindaan yang telah disenarai pendek menyebabkan wakil kaum India membuat keputusan untuk mengundurkan diri.

“Segala pindaan yang dibuat semalam bercanggah dengan apa yang kita capai pada 4 Mac lalu, jadi kami mahu ia dikekalkan dan tidak akan bersetuju sama sekali dengan pindaan itu ... muktamad.

“Panel bebas panggil kami untuk membantu menyelesaikan isu Interlok ini, jadi siapa yang lebih faham tentang kaum India? Kami atau ahli panel yang lain?” tegasnya.

Semalam tiga wakil kaum India menarik diri dari panel bebas itu selepas mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin.

Ketiga-tiga mereka memutuskan demikian selepas pertemuan khas tergempar yang diadakan di bangunan Parlimen yang sebahagiannya dipengerusikan oleh Muhyiddin sendiri, meminta agar berkompromi dan mengurangkan jumlah pindaan kepada perkataan “paria” sahaja.

Panel itu dipengerusikan oleh Prof Datuk Shamsul Amri Baharuddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang sekarang berada di luar negara.

Ahli lain panel itu ialah Datin Siti Saroja Basri, isteri kepada Abdullah, Prof Madya Dr Lim Swee Tin dari Jabatan Bahasa Melayu Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Datuk Termuzi Abdul Aziz dan Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya Prof Datuk Zainal Abidin Borhan.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata novel Interlok akan tetap digunakan sebagai buku teks sastera tingkatan lima.

Beliau turut menafikan wakil kaum India akan bertindak keluar daripada panel bebas yang diadakan untuk mengesyorkan pindaan ke atas novel karya Abdullah.

Kelmarin, Muhyiddin berkata, pindaan dalam novel Interlok menunjukkan kemajuan menggalakkan walaupun beliau belum menerima butiran terperinci daripada panel bebas.

Beliau berkata, selepas menerima butiran terperinci terhadap bentuk pindaan yang dibuat dalam beberapa hari lagi, perkara itu akan dimaklumkan kepada pemimpin masyarakat India bagi memastikan semua pihak berpuas hati dan menerimanya sebulat suara.

Tiada ulasan: