Jumaat, 25 Mac 2011

Interlok karya propaganda Umno

Menurut Lee Ban Chen, ia juga menonjolkan semangat Ketuanan Melayu.



KUALA LUMPUR: Kolumnis Malaysiakini dan Merdeka Review, Lee Ban Chen menyifatkan karya Sasterawan Negara Abdullah Hussain Interlok ‘berunsur politik dalam kerangka Umno’.

“Ia mempertahankan dasar ideologi Umno yang diwarisi daripada penjajah British. Ideologi ini dipupuk agar kerajaan negara ini menjadi kerajaan boneka British,” kata Lee pada forum bertajuk “Interlok: Antara Kesusasteraan, Pendidikan dan Hubungan Kaum” di sini malam tadi.

Ideologi Umno, jelasnya adalah berteraskan Ketuanan Melayu, pro-British, anti-rakyat dan anti-komunis.

Beliau turut mengecam gambaran tentera komunis yang digambarkan sebagai perogol.

“Komunis bukan perogol. Mereka cukup berdisiplin. Apakah kita lupa bahawa mereka membela negara ini?,” Lee menyoal sambil menegaskan bahawa keadilan mesti diberikan kepada tentera komunis anti-Jepun dan anti-British.

‘Karya tempang’

Profesor Dr Chong Fah Hing dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia pula menyifatkan Interlok sebagai ‘karya tempang’.

Dari sudut ilmiah, karya Abdullah Hussain ini juga tidak menepati definasi sastera dunia ketiga yang menitikberatkan nasionalisme.

“Abdullah Hussain hanya melihat nasionalisme Melayu dan menekan nasionalisme masyarakat lain lantas menjadikan novel ini tempang.”

Dalam analisanya terhadap kontroversi ini beliau telah menempelak pendirian Persatuan Penulis Nasional (Pena).

“Alasan Pena ialah Interlok edisi murid perlu dikekalkan untuk menjaga maruah Melayu? Apa kena-mengena Interlok dengan menjaga maruah Melayu?,” Chong menimbulkan persoalan.

Pandangan empat Sasterawan Negara yang mempertahankan Interlok atas alasan karya ini membicarakan aspek kemanusiaan turut disangkal sebagai kaedah mengaburkan permasalahan sebenar yang menekankan aspek imigran.

Beliau menambah bahawa Interlok juga merupakan karya bermasalah kerana condong kepada politik Umno-Barisan Nasional dan prejudis terhadap pergerakan nasionalisme kiri.

‘Rasisme wujud dan diinstitusikan’

Sementara itu, pensyarah undang-undang dari Universiti Malaya, Profesor Madya Azmi Sharom berhujah bahawa anugerah Sasterawan Negara tidak bermakna karya yang dihasilkan adalah bagus.

Beliau turut menjelaskan bahawa karya-karya berbaur perkauman boleh diterbitkan di Barat kerana masyarakat di sana menolak perkauman atas alasan bahawa ia adalah salah.

“Masalah kita adalah kita belum sampai ke tahap di mana masyarakat kita mengatakan rasisme adalah salah kerana ia wujud dan telah diinstitusikan.”

Beliau turut menyifatkan negara ini gagal mengambil pendekatan intelek untuk menyelesaikan permasalahan berkaitan Interlok kerana sikap hipokrasi.

Selain mereka, forum ini turut disertai Presiden Persatuan Kavyan, Uthaya Sankar SB dan Pengerusi Badan Bertindak Interlok Kebangsaan (Niat), Dato’ Thasleem Mohamed Ibrahim.

Ketika berhadapan dengan persoalan mengapa kerajaan liat untuk menarik balik Interlok, Azmi berkata, “kerajaan takut berhadapan dengan kumpulan pendesak perkauman Melayu seperti Perkasa.”

Selain daripada Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran, forum turut dihadiri Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Chong Eng dan M Manogaran (Telok Intan). Ketiga-tiga mereka dari parti DAP.

Kira-kira 70 peserta menghadiri forum anjuran Pusat Pembangunan Kebudayaan (LLG), Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Niat dan pertubuhan hak asasi Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

Tiada ulasan: