Cuba soalan matematik yang mudah ini, 1+1=11. Adakah jawapan ini betul?
Bagaimana pula dengan soalan pengetahuan am ini: Seandainya sebiji belon ditiup berterusan, adakah belon ini akan membesar tanpa batasnya?
Sememangnya jawapan untuk kedua-dua soalan ini adalah mudah. Tetapi, seandainya jawapan ini mencerminkan hubungan antara kerajaan, kos lebihan (cost overrun) dan inflasi, apakah pula jawapannya?
Baru-baru ini, The Asian Strategy & Leadership Institute (ASLI) melontarkan satu persoalan yang wajib direnungi bersama, "Ketika menggerakkan projek Greater KL, kerajaan seharusnya lebih efisien dalam pengurusan dan perancangannya. Masalah lebihan kos harus diminimakan. Jikapun tidak terelak, ia harus dikawal di bawah paras 10%."
Satu lagi isu adalah laporan media baru-baru ini, yang mendedahkan bahawa projek MRT yang tersenarai di bawah projek Greater KL, jumlah kosnya mungkin melonjak dari anggaran asal RM36.6 bilion kepada RM50.0 bilion, atau lebih - belumpun pembinaan dimulakan secara rasmi.
Pada dasarnya, kedua-dua isu ini memberi satu mesej, iaitu hubungan interaksi antara kerajaan, lebihan kos dan inflasi. Dengan kata lain, pada tahap tertentu, ia menjelaskan bagaimana 1+1=11, atau bagaimana sebiji belon boleh ditiup tanpa batasannya.
Di Malaysia, pembangunan infrastruktur sering dipertikaikan. Misalnya, mengapa semakin tinggi kosnya dari satu projek ke satu projek? Mengapa pula lebihan kos sering berlaku? Mengapa keadaan kemudahan infrastruktur sentiasa teruk? Dan mengapa rakyat perlu menanggung beban perbelanjaan infrastruktur yang semakin dahsyat?
Kepentingan politik, ekonomi dan sosial
Berbalik kepada soalan 1+1=11. Pada asasnya, dasar pembangunan infrastruktur Barisan Nasional untuk lebih 50 tahun yang lalu menitikberatkan satu perspektif, iaitu kepentingan (benefit) yang dibawa infrastruktur tersebut, sementara mengabaikan kos dan harga yang perlu dibayar untuk projek tersebut (price to pay).
Tiga fungsi utama pembangunan infrastruktur adalah untuk memenuhi kepentingan politik, kepentingan ekonomi dan kepentingan sosial.
Dari segi kepentingan politik, pembangunan infrastruktur sering dianggap syarat penting untuk kewujudan politik naungan (political patronage), iaitu mengagihkan projek pembangunan infrastruktur kepada kroni melalui aktiviti merentir (rent-seeking), untuk mengukuhkan kuasa politik diri. Kedua, sebagai modal membeli undi ketika pilihan raya - memikat undi dengan meluluskan pembangunan infrasturktur ketika pilihan raya.
Ketiganya adalah menjadi lambang kewibawaan seseorang pemimpin politik, misalnya Menara Kembar Petronas dan Putrajaya. Untuk ahli politik, kewibawaan yang dilambangkan infrastruktur ini lebih daripada nilai praktikalnya.
Dari fungsi kepentingan ekonomi pula, projek pembangunan infrastruktur menjadi alat untuk melaksanakan agenda ekonomi politik. Misalnya, tujuan afirmatif bumiputera boleh tercapai melalui projek pembangunan infrastruktur, iaitu membantu usahawan bumiputera atau golongan kelas menengah Melayu. Atau, merealisasikan Wawasan 2020, Model Ekonomi Baru melalui projek pembangunan infrastruktur seperti Greater KL.
Juga, projek pembangunan infrastruktur adalah jalan singkat untuk memacu kepesatan ekonomi, terutamanya pada saat-saat ekonomi berada di peringkat peralihan. Misalnya, apabila ekonomi menemui jalan buntu, dan pemimpin politiknya pula tergesa-gesa untuk memahat namanya, maka pembangunan infrastruktur adalah jalannya. Jelas, projek di bawah Program Transformasi Ekonomi bertujuan untuk membina kewibawaan Najib Razak yang hampir dua tahun menyandang jawatan Perdana Menteri.
Dari aspek kepentingan sosial, pembangunan infrastruktur bertujuan untuk memperbaiki kualiti kehidupan rakyatnya. Namun, aspek ini paling kurang dipertimbangkan berbanding aspek kepentingan politik dan ekonomi. Malah, kepentingan sosial mungkin dilepaskan, jikalau perlu untuk memenuhi kepentingan politik dan ekonomi.
Masalah lebihan kos yang ketara
Untuk memenuhi kepentingan politik, kerajaan kebanyakan masanya bersikap "kurang waras", mendahulukan kepentingan pembangunan infrastruktur daripada segala-galanya - sehingga kerajaan boleh toleran dengan penyelewengan, rasuah, lebihan kos, kurang penyeliaan, perancangan dan pengurusan yang tidak sempurna, risko moral dan sebagainya.
Dan ia berakhir dengan kesudahan sedemikian. Projek mega pembangunan infrastruktur ditangguh, sehingga menimbulkan masalah lebihan kos yang mendadak. Misalnya, jumlah kos Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) melonjak dari asalnya, RM1.8 bilion kepada RM4.6 bilion (melonjak kepada RM12.5 bilion apabila ditambah hutang dan faedahnya). Empangan Bakun, melonjak dari kos asal RM1.8 bilion kepada RM7.0 bilion; dan Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang Dan Ipoh, yang mengalami peningkatan kos pembinaan sebanyak RM1.43 bilion.
Jadi, 1(kerajaan) +1(projek pembangunan infrastruktur)=11(lebihan kos berganda) telah menjadi formula yang diterima untuk ekonomi dan politik Malaysia. Kerajaan dengan buta tuli mempercayai bahawa sebiji belon akan membesar tanpa batasannya (melalui model lebihan kos untuk memenuhi kepentingan politik dan ekonomi) seandainya ditiup berterusan - menutup realitin harga yang perlu dibayar di sebaliknya.
Apabila kepentingannya diperbesarkan dengan sikap optimis yang kurang waras, mengabaikan kos dan harga yang perlu dibayar di sebaliknya, maka ia bakal berakhir dengan kerugian yang besar.
Setakat ini, hampir kesemua media memberi tumpuan kepada hubungan interaksi antara kerajaan dengan lebihan kos, sehingga diabaikan satu unsur yang tidak kurang pentingnya, iaitu inflasi. Sesungguhnya ia mudah difahami, kerana inflasi adalah implicit element, yang tidak jelas kesannya berbanding lebihan kos. Namun ia harus diberi perhatian yang setimpal, kerana kesannya lebih meluas pada hakikatnya.
Tekanan inflasi
Tindakan kerajaan yang tidak waras ini mengundang masalah lebihan kos, yang mencungkil tekanan inflasi dari dua dimensinya. Pertama, lebihan kos projek pembangunan infrastruktur telah mewujudkan "permintaan lebihan", lantas meningkatkan harga barangan dan perkhidmatan secara mendadak, iaitu apa yang disebut sebagai demand pull inflation.
Misalnya, menurut anggaran analisis yang dipetik media tempatan, kita memerlukan sekurang-kurangnya RM5 bilion atau bersamaan 2.5 juta tan bahan pembinaan setiap tahun, selepas projek mega pembangunan infrastruktur dimulakan, misalnya Menara 100 tingkat, MRT dan sebagainya. Permintaan besi keluli dijangka mencecah 5 hingga 6 juta tan, dan permintaan simen pula dijangka meningkat 6%.
Selain itu, projek MRT dijangka melonjakkan harga tanah di sekitar landasannya, pada kadar 11% hingga 35%. Kini, projek perumahan baru dan hartanah komersial dijangka mempunyai ruang tambahan nilai 20% hingga 30%. Dengan kata lain, rakyat perlu menanggung kos yang lebih tinggi untuk perumahan.
Keduanya, masalah lebihan kos projek infrastruktur mendesak agar kos yang dikenakan ke atas pengguna ditingkatkan untuk mengimbangi beban ekoran lebihan kos. Jikalau diambil contoh MRT, dalam keadaan kos meningkat dari RM36.6 bilion kepada RM50.0 bilion - jikalau kontraktor enggan menanggung lebihan kos ini, maka pengguna MRT perlu membayar lebih untuk mengisi kekosongannya.
Sebagai kesudahannya, bukan sahaja projek mega pembinaan infrastruktur gagal meringankan beban dan memperbaiki kualiti kehidupan rakyat, sebaliknya memberatkan beban dan tekanan hidup rakyatnya.
*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview. Disedut, diterjemah dan disunting dari teks asal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan