Selasa, 15 Mac 2011

Ean Yong Gesa SPRM Bebaskan Beng Hock

TVS NEWS



KUALA LUMPUR : Seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memberitahu Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat punca kematian mendiang Teoh Beng Hock, bahawa EXCO Selangor, Ean Yong Hian Wah meminta beliau melepaskan mendiang pada malam bekas setiausaha politik itu disoal siasat.

Pemangku Penolong Pesuruhjaya SPRM, Hairul Ilham Hamzah berkata Ean Yong turut mempersoalkan mengapa siasatan perlu diteruskan pada malam 15 Julai 2009 dan meminta supaya Beng Hock dibenarkan pulang.

Bagaimanapun, Hairul Ilham berkata beliau tidak dapat membenarkan Beng Hock pulang berikutan soalsiasat belum selesai.

"Saya memaklumkan kepada Ean bahawa siasatan terhadap Teoh akan dibuat secepat mungkin dan memberitahu beliau saya akan melepaskan Beng Hock sebelum pukul 5 pagi," katanya.

Ketika disoal pegawai pengendali Awang Armadajaya Awang Mahmud mengapa Hairul membuat keputusan sedemikian, Hairul Ilham berkata dalam kes SPRM, kebanyakan saksi adalah penting.

"Sekiranya saksi dilepaskan, kemungkinan mereka akan mereka-reka cerita dan jikalau saksi ditahan akan mengurangkan potensi saksi untuk berbuat demikian," katanya.

Ketika disoal Awang Armadajaya bagaimana Hairul Ilham mengetahui akan kehadiran Ean Yong, Hairul Ilham berkata beliau dimaklumkan oleh pengawal keselamatan iaitu Amran bahawa berlaku kekecohan di ruang legar utama di pejabat SPRM di tingkat 14, Plaza Masalam.

"Saya dimaklumkan berlaku kekecohan di ruang legar utama pada pukul 11.45 malam (15 Julai 2009) dan apabila saya ke tempat itu saya dapati Ean Yong dan beberapa lelaki dan perempuan berbangsa Cina yang tidak dikenali berada di situ dan pada waktu itu juga Ean meminta saya melepaskan Teoh," katanya.

Hairul Ilham memberitahu pada waktu itu beliau tidak perasan sama ada Ean Yong membawa peguamnya, M.Manoharan.

Beng Hock, 30, bekas setiausaha politik EXCO Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, selepas disoalsiasat semalaman oleh SPRM.

Tiada ulasan: