Rabu, 16 Mac 2011

Cuepacs minta kerajaan selaras gaji dengan kenaikan harga barang

BERNAMA

MELAKA — Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan meminta kerajaan supaya membuat pelarasan kenaikan gaji berikutan kenaikan harga barang yang dilihat telah menjejaskan penjawat awam bergaji rendah.

Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata kali terakhir pelarasan dibuat ialah empat tahun lepas.

“Kita mendapat keluhan dari kakitangan awam yang berpendapatan sederhana dan rendah yang bergaji RM3,500 ke bawah. Semasa kita minta kenaikan selepas 1 Julai 2007, harga barang OK tetapi selepas kenaikan gaji, harga naik mendadak 100 peratus.

“Ini yang kita nak seimbangkan semula penyelarasan berdasarkan kenaikan harga barang semasa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bengkel Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) Alternatif, di sini hari ini.

Beliau berkata perkara tersebut akan dibincang oleh Cuepacs bulan depan.

“Kita dah maklumkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tetapi secara tidak rasmi,” tambahnya.

Omar memberitahu terdapat penjawat awam sekarang terpaksa membuat kerja sampingan bagi menambahkan pendapatan.

“Kita tak mahu penjawat awam memikirkan sangat kerja sampingan supaya mereka dapat memberi tumpuan kepada kerja hakiki dan supaya nak mengelakkan perkara yang tidak diingini yang akan menjejaskan kerja mereka,” katanya.

Beliau juga menyedari bahawa apabila berlaku pelarasan gaji, maka peniaga akan mengambil kesempatan daripadanya dengan serta merta menaikkan harga barang.

Dalam perkembangan lain, beliau berharap JPA dapat menyemak semula seramai 30 peratus kakitangan kerajaan dari gred 1 hingga gred 40 yang telah mencapai gaji maksimum, supaya dapat dinaikkan gred mereka kepada gred yang baru mengikut kelayakan mereka yang lebih sesuai.

“Ini supaya kita nak elakkan ramai kakitangan kerajaan duduk di tangga gaji yang maksimum. Bila gaji dah maksimum secara tidak langsung prestasi dan produktiviti mereka akan mula terjejas kerana gaji mereka sudah mati (sampai had),” katanya.

Beliau berkata di bawah sistem penilaian baru kelak yang menggantikan PTK, fokusnya ialah untuk membanyakkan peluang kenaikan pangkat di samping memansuhkan sistem gaji tiga lapis seperti yang ada sekarang iaitu P1, P2 dan P3 di bawah Skim Saraan Malaysia (SSM) yang telah berjalan selama lapan tahun.

“Kita mahu sistem gaji satu baris tanpa maksimum. Selagi dia (penjawat awam) berkhidmat, selagi itu gaji dia boleh naik. Baru boleh motivasi diri mereka untuk kerja kuat,” katanya.

Mengenai kes bankrap di kalangan penjawat awam, Omar berkata sehingga tahun lepas hampir 3,000 orang terlibat dengan kes bankrap yang kebanyakannya kerana membuat pinjaman kenderaan.

“Ramai penjawat awam terlalu mudah mendapatkan pinjaman apabila disogokkan oleh pihak tertentu tanpa perlu membayar deposit. Sepatutnya ia tidak berlaku,” katanya.

11 ulasan:

Mohd Ishak berkata...

Penyelarasan gaji dengan kenaikan harga barang memang diperlukan, bukan saja dalam sektor awam, tapi juga di sektor persendirian.

Mohd Ishak berkata...

Sekurang-kurangnya gaji minimum dilancarkan.

Unknown berkata...

Diharapkan kerajaan akan mempertimbangkan cadangan Cuepacs untuk melancarkan gaji minimum.

madd berkata...

cadangan ini harus diberikan pertimbangan. apa pun, setiap cadangan haruslah dikaji dari pelbagai aspek terlebih dahulu.

Unknown berkata...

Dengan kenaikkan harga barang tidak kita minyak dan barang mentah, ini akan membebankan rakyat kita. Maka cara yang baik adalah menaikkan gaji pekerja. Bukan untuk penjawat awam saja, malah kepada penjawat swasta juga perlu.

Tanpa Nama berkata...

cadangan ini amat baik dan perlu dipertimbangkan bagi mengurangakan beban rakyat.

Tanpa Nama berkata...

bagaimana dengan pekerja2 disektor swasta yang lain? penjawat awam sudah beberapa kali menerima kenaikan gaji dan pelbagai keistimewaan. tapi perkhidmatan kerajaan masih juga berada ditahap yang tidak memuaskan. Cuepacs perlu juga memperjuangkan nasib pekerja2 swasta yang mana gaji mereka jauh lebih rendah berbanding dengan penjawat2 awam.

mike berkata...

penyelarasan gaji bagi penjawat awam harus dikaji semula..ini berikutan dengan perubahan semasa dalam peningkatan kos hidup dan sebagainya.

mike berkata...

diharap gaji minimum dilaksanakan secepat mungkin..

Unknown berkata...

Cadangan ini sudah lama tapi masih tak jalan2 lagi..

Unknown berkata...

Cepat2lah dibuat pelaksanaan ini, rakyat semakin dihimpit kesusahan..