Ahad, 20 Mac 2011

Barat mula tindakan tentera ke atas Libya, kuat kuasa resolusi PBB

LAPORAN– Reuters

PARIS – Kuasa-kuasa Barat bersetuju untuk menyepadukan tindakan ketenteraan ke atas Libya dengan Perdana Menteri Britain David Cameron berkata, sudah “tiba masa diambil tindakan” atas alasan pemimpin Muammar Gaddafi telah melanggar gencatan senjata yang dijanjikannya semalam.

Menurut Cameron, tindakan segera diperlukan untuk mengelakkan lebih banyak kematian ekoran tindakan Muammar.

Pemimpin-pemimpin Barat dan Arab mengadakan mesyuarat khas di sini hari ini.

“Kolonel Muammar Gaddafi telah menyebabkan perkara ini berlaku. Beliau telah berbohong kepada masyarakat antarabangsa, beliau telah menjanjikan satu gencatan senjata, (tetapi) beliau telah melanggar gencatan senjata,” kata Cameron kepada pemberita televisyen negaranya di sini.

“Beliau (Muammar) meneruskan tindakan kejam ke atas rakyatnya sendiri dan oleh itu, sudah sampai masa untuk diambil tindakan.

“Ia (tindakan) perlu disegerakan, kita perlu menguatkuasakan kehendak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kita tidak boleh membiarkan orang ramai terus dibunuh,” katanya lagi.

Presiden Perancis Nicolas Sarkozy pula berkata, tentera udara bersekutu telah memulakan tindakan ke atas Libya hari ini dan mengelakkan pasukan Muammar daripada menyerang puak pemberontak di bandar Benghazi.

Laporan awal menyebut tentera Libya memulakan serangan ke atas pemberontak di Benghazi sejak pagi tadi.

Malah kepimpinan Muammar juga menafikan berbuat demikian.

“Pesawat-pesawat kami sudah pun memulakan tindakan menghalang serangan ke atas bandar (Benghazi),” kata beliau sambil menambah, tindakan ketenteraan itu disokong oleh Perancis, Britain, Amerika Syarikat dan Kanada selain negara-negara Arab.

Sebelum pengesahan itu dibuat, jet-jet pejuang Perancis, yang terlibat dalam kerja-kerja pengintipan, terbang di ruang udara Libya – sebagai tanda pertama menguatkuasakan resolusi PBB.

Sarkozy berkata “kesungguhan kami adalah total.”

Dalam pada itu, Canselor Jerman Angela Merkel berkata, kuasa-kuasa dunia telah bersatu suara bahawa keganasan di Libya mesti dihentikan tetapi mengesahkan negaranya tidak akan menyertai tindakan ketenteraan ke atas negara utara Afrika tersebut.

Beliau membuat komen itu selepas pemimpin-pemimpin dunia membincangkan bagaimana satu tindakan ketenteraan boleh disepadukan ke atas Libya.

Kelmarin, Berlin mengambil sikap berkecuali ketika Majlis Keselamatan PBB meluluskan resolusi zon larangan terbang di ruang udara Libya.

China, Rusia dan India juga bersikap berkecuali dan tidak menyokong resolusi itu.

Bagaimanapun Merkel berkata, kerajaannya menawarkan anggota tentera pengintipan AWACS berkhidmat di Afghanistan bagi membolehkan askar Amerika Syarikat pula menjalankan tugasnya di Libya.

Tiada ulasan: