Jumaat, 25 Mac 2011

14 pelajar dicekup

SINAR HARIAN ONLINE


BUKIT PAYONG – Seramai 14 pelajar sekolah, kebanyakannya dari sekitar tiga buah sekolah di sini, dicekup dalam satu operasi khas memerangi masalah ponteng sempena pelancaran Kempen Basmi Ponteng peringkat daerah di sini, semalam.

Kempen itu dilancarkan Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Razali Daud dan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, Zaidi Muda di Pusat Khidmat Masyarakat dan berakhir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Payong.

Semua pelajar yang dicekup kemudiannya dibawa ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Payong untuk tindakan susulan, termasuk sesi kaunseling dan menjalani ujian air kencing bagi memastikan mereka tidak terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Menurut Pegawai Pelajaran daerah, Md Yasin Mohd Salleh, pelancaran kempen itu bukanlah bermakna gejala berkenaan semakin serius, tetapi ia sebagai langkah awal menghalang gejala itu menular dalam kalangan pelajar lain.

“Dalam kempen itu, seramai 14 pelajar dari tiga buah sekolah ditahan seawal jam 10 pagi dan ketika ditahan berdekatan sekolah masing-masing, kebanyakan mereka memberikan alasan keluar untuk membeli makanan,” katanya.

Md Yasin yang ditemui di SMK Seri Payong berkata, operasi yang dijalankan itu berjaya mencapai matlamatnya dalam membantu usaha kementerian memerangi masalah ponteng sekolah dan akan diadakan secara berterusan dari masa ke masa.

Menurutnya, ibu bapa pelajar turut diminta datang ke sekolah untuk diberikan penjelasan mengenai masalah anak-anak mereka, termasuk meminta ibu bapa memantau pergerakan anak masing-masing bagi mengelak mereka terjebak dengan kegiatan negatif.

Dalam pada itu, Md Yasin juga berterima kasih kepada jabatan kerajaan yang terlibat dalam menjayakan kempen tersebut antaranya polis, Pejabat Agama daerah (Bahagian Penguat kuasa), Majlis Daerah Marang (MDM), Pejabat Daerah Marang dan Rela.

Tiada ulasan: