Selasa, 1 Jun 2010

Penyanyi, pemuzik tradisional Rahim Jantan meninggal

BERNAMA



KUALA LUMPUR – Penggiat muzik tradisional Melayu, Rahim Jantan meninggal dunia di kediamannya di Taman Rasmi Jaya, Ampang lewat malam tadi berikutan serangan jantung.
Allahyarham berusia 63 tahun.

Anak kedua Allahyarham, Nur Adhlina 25, berkata, bapanya meninggal dunia kira-kira 11.30 malam sejurus selepas terjaga daripada tidur akibat sakit dada.

Jenazah beliau akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Cheng di Melaka sebelum solat Zohor hari ini.

Allahyarham, yang juga tenaga pengajar sambilan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), meninggalkan seorang balu dan lima orang anak.

Rahim, yang dilahirkan di Balai Panjang, Batu Tiga, Melaka, pernah menjuarai Bintang Lagu Melayu Asli Kebangsaan kawasan selatan pada 1969 dan menjadi juara kebangsaan Dendang Rakyat anjuran Radio Televisyen Malaysia pada 1980.

Berikutan penglibatan dan sumbangan meluas beliau dalam muzik tradisonal Melayu, Rahim dihargai dengan Anugerah Seni Negara (Pemuzik) pada 2006.

Allahyarham mula menghasilkan album pada 1969 dan pernah berduet dengan S.Roha, allahyarham Rosiah Chik, allahyarham Datin Rafeah Buang, allahyarham Kamariah Noor dan Datuk Yusni Hamid.

Tiada ulasan: