Selasa, 1 Jun 2010

PAC panggil Sime Darby, Pos Malaysia jawab kerugian

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Pengurusan Sime Darby Bhd dan Pos Malaysia Bhd akan dipanggil untuk menghadap Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) untuk menjelaskan kerugian yang dialami kedua-dua organisasi itu.

Mereka dijangka akan dipanggil memberi keterangan kepada PAC dalam tempoh dua minggu ini.

“Kami melihat perkara ini kerana ia menyentuh kepentingan awam,” kata Pengerusi PAC Datuk Seri Azmi Khalid kepada pemberita di sini hari ini.

Turut dijangka akan dipanggil ialah wakil-wakil dari sayap pelaburan kerajaan Khazanah Nasional Berhad yang mempunyai saham dalam kedua-dua syarikat tersebut, dan juga Kementerian Kewangan.

Azmi berkata PAC mengambil tindakan itu memandangkan kedua-duanya merupakan kes berprofil tinggi, yang mendapat liputan meluas media.

Bagaimanapun skop siasatan PAC terhadap PAC belum ditetapkan.

“Kami belum tahu lagi,” katanya.

“Kita tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam kedua-dua syarikat ini, tetapi memandangkan ia kes berprofil tinggi dan mendapat liputan meluas oleh media, jadi kita perlu panggil mereka untuk beri penjelasan ,” katanya.

Sime Darby dilaporkan mengalami kerugian lebih RM1.6 bilion akibat daripada lebihan kos dalam projek kendaliannya, dan berikutan itu, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid, yang kontraknya sebagai Ketua Eksekutif Kumpulan sepatutnya berakhir pada 26 Nov ini, telah diminta bercuti.

Pos Malaysia pula dilaporkan mengalami kerugian RM227 juta sejak beberapa tahun lalu.
Azmi tidak menolak kemungkinan akan memanggil pengurusan Khazanah Nasional Berhad berdasarkan penglibatannya dengan Pos Malaysia.

Ditanya sama ada PAC bersetuju tindakan Sime Darby mengarahkan Ahmad Zubir supaya bercuti, Azmi berkata: “Itu bukan urusan kami. Kami belum merumuskan apa-apa, kami hanya ingin tahu fakta dan apa yang sedang berlaku dalam syarikat itu.”

Azmi juga berkata jawatankuasa itu hampir selesai menyiapkan laporan berhubung projek landasan berkembar elektrik kereta api antara Rawang dan Ipoh yang menelan belanja hampir RM1.43 bilion iaitu 32.9 peratus lebih tinggi daripada nilai kontrak asal.

Ia juga hampir menyiapkan laporan mengenai Syarikat Prasarana Negara Berhad berhubung prosedur pelupusan aset oleh syarikat tersebut termasuk rancangannya untuk melupuskan 1,139 unit badan bas yang tersadai di depot bas di Serendah dan Sungai Buaya.

Tiada ulasan: