Jumaat, 25 Jun 2010

'Felda bankrap' - Suara Keadilan, Zaid disaman

Jimadie Shah Othman

Lembaga Tanah Persekutuan (FELDA) akan menyaman akhbar organ PKR Suara Keadilan dan beberapa pemimpin pembangkang kerana didakwa menyiarkan laporan "fitnah yang berniat jahat".

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata, tuduhan yang dibuat dalam edisi terbaru akhbar itu, terutamanya di muka depannya dengan tajuk 'Felda Bankrap' adalah keterlaluan.

"(Akhbar) ini digantung di mana-mana. (Tajuknya) 'Felda Bankrap', titik. Bukan tanda soal. Kalau (mereka) sebut mungkin bankrap, lain sikit," katanya yang bertanggungjawab membantu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam hal ehwal FELDA.

"Fitnah, fitnah, fitnah dan fitnah (semua itu). Perkara ini tidak boleh dibiarkan berleluasa. Ia mesti dihentikan."

Selain pemilik permit, pihaknya akan turut menamakan ketua pengarang akhbar itu, wartawan-wartawan terbabit dan empat pemimpin pembangkang iaitu penyelaras Pakatan Zaid Ibrahim, ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Tan Kee Kwong dan Suhaimi Said serta wakil rakyat PAS Mohd Abdul Wahid Endut.

Saman tersebut bakal difailkan dalam masa terdekat, kata Ahmad.

"Setakat ini kita sudah lantik peguam. Sudah dua kali berbincang pun," tambahnya.

Dalam Suara Keadilan bertarikh 22 - 29 Jun, selain laporan muka depannya, akhbar mingguan itu turut memuatkan beberapa siri laporan khusus tentang hal ehwal kewangan FELDA.

Dalam sidang media di ibu pejabat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu di ibu negara, Ahmad menjelaskan mustahil FELDA di ambang bankrap memandangkan ia merupakan "pemilik tanah paling besar di dunia" dengan 23,000 kakitangan pengurusan.

Katanya, walaupun tunai syarikat itu berkurangan sebanyak RM2.73 bilion dalam tempoh empat tahun (sehingga tahun lalu), aset semasa dan tetap FELDA menonjak sebanyak RM6.2 bilion dalam tempoh yang sama.

Ahmad yang juga ahli parlimen Pontian berkata syarikat itu juga mempunyai pelaburan di pelbagai negara seperti Amerika Syarikat, Arab Saudi, China, India dan Australia.

"Kedudukan kewangan FELDA kini sangat kukuh berdasarkan nisbah-nisbah kewangan (financial ratios). Aset bersih FELDA sekarang berjumlah RM12.2 bilion," jelas Ahmad.

Sementara itu, Ahmad juga berpendapat, selain "dengki", motif di sebalik penyiaran berita siaran dalam Suara Keadilan itu dibuat ekoran FELDA diterajui perdana menteri sendiri.

"Sasarannya pada perdana menteri sendiri. Kedua, FELDA ini kubu kuat BN. Mereka (pembangkang) hendak pecahkan penguasaan BN," katanya.

Tiada ulasan: