Selasa, 10 November 2009

Malaysia guna nuklear untuk jana elektrik pada 2020?

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Mungkinkah tenaga nuklear digunakan bagi menjana tenaga elektrik di negara ini menjelang 2020 bagi menggantikan minyak dan gas?

Perkara itu tidak mustahil kerana tenaga nuklear kini merupakan pilihan utama yang difikirkan sesuai oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kerana ia lebih ekonomik dan jauh lebih baik berbanding sumber tenaga sedia ada.

Ketua Pengarah Lembaga Perlesenan Tenaga Atom, Raja Datuk Abdul Aziz Raja Adnan berkata, mengambil kira faktor alam sekitar, kuasa tenaga nuklear sangat sesuai digunakan di negara ini untuk penjanaan elektrik kerana ia tidak menghasilkan karbon dioksida.

''Tenaga nuklear bersifat mesra alam,'' katanya kepada Utusan Malaysia selepas menghadiri Seminar Kebangsaan Kali Ketiga Mengenai Pengetahuan Masyarakat Terhadap Tenaga Nuklear di sini hari ini.

Pada 31 Oktober lalu, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu, kertas kajian bahan api negara bagi mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan gas asli dan arang batu bagi menjana tenaga elektrik telah hampir siap.

Perdana Menteri berkata, secara umumnya perubahan dalam mencari bahan api alternatif itu akan mengambil kira keperluan dalam tempoh jangka masa sederhana dan panjang dengan penggunaan tenaga nuklear juga termasuk dalam kajian.

Menurut Raja Abdul Aziz, berikutan kepentingan penggunaan tenaga nuklear pada masa depan, kementerian akan menghantar beberapa pegawai ke luar negara termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Perancis pada tahun depan bagi mempelajari dan memahami dengan lebih mendalam mengenai tenaga berkenaan.

''Perancis telah menggunakan tenaga nuklear sehingga 80 peratus untuk penjanaan elektrik di negara mereka," katanya yang akan bertindak sebagi penyelia kepada pegawai terbabit.

Mengenai wujud bantahan terhadap penggunaan tenaga nuklear di negara ini katanya, ia biasanya dipengaruhi oleh faktor persepsi berbanding fakta sebenar.

Jelasnya, kebanyakan bantahan itu berpunca daripada keraguan terhadap teknologi itu sendiri terutama soal keselamatan.

"Dari aspek keselamatan, adalah sesuatu yang mustahil bagi sesebuah loji janakuasa nuklear meletup akibat kemalangan atau sabotaj,'' ujarnya.

Dalam pada itu, seramai 130 pegawai dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta menyertai seminar yang berlangsung selama tiga hari itu.

Esok, seminar itu akan memberi penerangan kepada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk yang memperjuangkan alam sekitar dan akan dihadiri Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof.

Pada Rabu pula, sesi penerangan berhubung perkara itu akan diberikan kepada Ahli-ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang.

Tiada ulasan: