Ahad, 1 November 2009

Jambatan Jamrah dibuka

BERNAMA


MEKAH - Jemaah haji tidak perlu bimbang mengalami kesesakan dan kejadian rempuhan manusia semasa mereka melakukan ibadat melontar di Jamrah seperti yang pernah berlaku sebelum ini kerana mulai tahun ini, kesemua lima tingkat jambatan Jamrah yang telah siap pembinaannya, dibuka untuk kegunaan mereka.

Edisi terbaru majalah Hajj & Umrah melaporkan bahawa dengan siapnya projek itu, jambatan berkenaan mampu menampung kehadiran 5 juta jemaah sejam.

Projek pembesaran jambatan itu, yang menelan belanja SR4.2 bilion, dimulakan pelaksanaannya pada Disember 2006 bagi menjamin keselamatan jemaah dan mengelak berulangnya kejadian rempuhan dan kesesakan di kawasan Jamrah.

Majalah itu berkata pengawal keselamatan akan ditugaskan di beberapa tempat, termasuk sebelum pintu ke jambatan berkenaan bagi memberi panduan kepada jemaah untuk memastikan jemaah hanya bergerak dalam satu arah.

Majalah itu berkata Kementerian Haji telah meminta penganjur haji domestik mematuhi jadual mereka dalam menghantar jemaah ke jambatan Jamrah.

Semua khemah ditetapkan waktu penghantaran jemaah masing-masing bagi menunaikan rukun haji itu bagi memudahkan tugas mengawal pergerakan pengguna jambatan itu.

Sementara itu, Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Salleh Abd Mubin berkata, Tabung Haji mendapati kerja akhir pembinaan kompleks jamrah itu sedang giat dijalankan agar jemaah boleh menggunakannya akhir November ini.

Mengenai jadual melontar bagi jemaah haji Malaysia, beliau berkata, pihak berkuasa Arab Saudi akan menetapkan jadual itu setelah semua jemaah haji sampai di Mekah.

“Ini bagi membolehkan pihak berkuasa membuat penilaian daripada segi jumlah jemaah sesebuah negara serta masa yang diperlukan. Malaysia diletakkan dalam kelompok Asia Tenggara akan diberikan waktu tertentu untuk melontar,” katanya

Tiada ulasan: