Isnin, 2 November 2009

Bina segera hospital pengajar UIAM

UTUSAN ONLINE


KUANTAN - Kerajaan diminta menyegerakan pembinaan hospital pengajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Kampus Kuantan, di sini yang dianggarkan menelan belanja RM1 bilion.

Rektor UIAM, Profesor Datuk Seri Dr. Syed Arabi Idid berkata, universiti itu sepatutnya sudah mempunyai hospital pengajar memandangkan Kampus Kuantan kini menempatkan lebih 2,000 pelajar yang menuntut dalam bidang perubatan dan sains kesihatan bersekutu.

Malah katanya, UIAM juga antara universiti awam yang mempunyai fakulti kejururawatan sendiri bagi melahirkan tenaga mahir dalam bidang berkaitan.

"Kami telah pun menghantar permohonan kepada kerajaan dan menjadi harapan kami pembinaan hospital itu yang mempunyai 600 katil dapat direalisasikan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

"UIAM sudah ada kampus perubatan dan sains kesihatan sendiri, maka sepatutnya UIAM mempunyai sebuah hospital pengajar kerana kami lebih daripada bersedia untuk mengendalikan hospital berkenaan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Pengajaran Ketujuh Persatuan Penyakit Payu Dara Asia (ADBA) anjuran Pusat Payu Dara UIAM di sebuah hotel, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Pusat Payu Dara UIAM, Profesor Datuk Dr. Humairah Samad Cheung dan Presiden ABDA, Dr. Daniel Makes.

Menurut Syed Arabi, selain memberi perkhidmatan kepada masyarakat, pembinaan hospital itu kelak akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat dan Pahang khususnya melalui pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Tiada ulasan: