Ahad, 22 November 2009

Bedah siasat kedua diketahui petang ini

Oleh Mohd Azis Ngah


SEMENYIH: Mayat Teoh Beng Hock, Setiausaha Politik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Kembangan Ean Yong Hain Wah digali dan dibawa keluar dari kuburnya di sini, semalam dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat kedua yang dijangka diadakan jam 9.30 pagi ini.

Proses menggali kubur itu mengambil masa dua jam bermula jam 9.20 pagi di bawah seliaan pasukan pakar patologi dan forensik tempatan serta pakar patologi Thailand, Dr Porntip Rojanasunan yang mewakili kerajaan Selangor.

Sepanjang proses itu, mayat Teoh disahkan wakil keluarga serta pasukan perubatan sebelum kerandanya dibungkus semula menggunakan plastik dan dibawa menaiki van mayat untuk dihantar ke Hospital Sungai Buloh.

Wakil media serta orang awam yang berada di situ seawal jam 7 pagi tidak dibenar melihat proses menggali dijalankan. Bahkan kawasan kubur itu ditutup menggunakan plastik putih bagi menghalang media merakam gambar.

Pakar tempatan yang berada di situ sepanjang proses menggali ialah Ketua Patologi Hospital Sungai Buloh, Dr Shahidan Md Noor, Dr Prashant Naresh Samberkar dan Dr Khairul Azman Ibrahim.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili keluarga Teoh, Gobind Singh Deo, mempersoalkan ketidakhadiran pakar forensik bebas, Prof Dr Peter Vanezis dari United Kingdom yang dilantik sebagai pemerhati oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Difahamkan, Dr Vanezis yang juga Pengarah Cameron Centre for Forensic Medical Sciences, London, akan hadir ketika proses bedah siasat bermula pagi ini sehingga selesai,” katanya.

Sementara itu, Dr Pornthip yang ditemui media, bagaimanapun enggan mengulas hasil pemerhatian awal ke atas mayat Teoh.

“Semua proses berjalan lancar dan baik, mengikut jadual dan perancangan. Esok (hari ini), doktor dari Malaysia dan UK akan jalankan bedah siasat, jadi keputusannya akan diketahui esok. Saya akan berada di sana,” katanya.

Difahamkan, proses bedah siasat kedua itu mungkin ambil masa hampir lapan jam dan keputusannya dijangka diketahui petang ini.

Sebelum ini, Mahkamah Koroner Shah Alam membenarkan permohonan keluarga Teoh untuk menggali semula mayat mendiang bagi menentukan punca sebenar kematiannya selepas dipercayai jatuh dari bangunan Plaza Masalam di sini, Julai lalu.

Permohonan itu dibuat berikutan keterangan Dr Pornthip di mahkamah yang mendakwa 80 peratus kemungkinan Teoh mati akibat dicekik dan didera.

Tiada ulasan: