Jumaat, 20 November 2009

Bapa arak anak keliling kampung

UTUSAN ONLINE


ALOR SETAR - Seorang bapa sanggup 'mengarak' anaknya dengan motosikal ke seluruh kampung kerana terlalu gembira dengan kejayaannya memperoleh 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini.

Bagi Abdul Latif Hamid, 46, petani dari Kampung Alor Gunung di sini, kejayaan anaknya, Ummu Aiman yang tidak disangka olehnya itu cukup membanggakannya.

Murid Sekolah Kebangsaan Gunung itu memperoleh gred A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Pemahaman, Bahasa Melayu Penulisan, Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris.

"Saya amat gembira dengan kejayaan anak saya ini dan semoga impiannya untuk menjadi seorang doktor akan tercapai," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Abdul Latif, dia hanya mampu membawa anaknya mengelilingi kampung dengan motosikal sebagai cara meraikan kejayaannya kerana pendapatan sebagai petani tidak seberapa.

"Saya amat bangga dengan Ummu Aiman dan mahu dia terus berjaya dalam pelajarannya," katanya.

Ditanya rahsia kejayaannya, Ummu Aiman memberitahu dia sering mengamalkan doa-doa penerang hati yang diajar oleh guru-guru di sekolah bagi memudahkannya mengingati ilmu yang diajar.

"Saya belajar sendiri dan tidak pernah lupa untuk berdoa kepada Tuhan agar memberikan saya kepintaran dan kekuatan semangat untuk menempuh peperiksaan.

"Sepanjang menjawab soalan UPSR dahulu, saya sentiasa tenang dan yakin boleh berjaya,'' jelasnya.

Anak bongsu daripada empat beradik itu turut memberitahu petua orang tua-tua yang diamalkannya untuk berjaya.

Katanya, dia tidak memakan makanan yang boleh membuatkan minda menjadi lemah seperti benda masam, minuman bergas serta organ dalaman haiwan.

"Ingatan yang kuat dan cerdas amat penting kepada seorang pelajar dan saya sanggup tidak makan makanan begitu demi menjaga ingatan," katanya.

Tiada ulasan: