Khamis, 19 November 2009

Akhil Hayy tidak pernah diberi tauliah - JAIS

UTUSAN ONLINE


SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak pernah mengeluarkan sebarang tauliah terhadap penyanyi, Akhil Hayy untuk menjalankan sebarang aktiviti ceramah atau khutbah agama di negeri itu.

Pengarahnya, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, setakat ini penceramah bebas tersebut tidak dibenarkan untuk menjalankan aktiviti berkenaan sama ada di masjid, surau atau mana-mana tempat di Selangor.

Sebaliknya, Mohammed Khusrin memberitahu pihaknya pernah menahan Akhil atas kesalahan melanggar Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 di bawah Seksyen 119 (1) kerana mengadakan ceramah tanpa tauliah di Seksyen 8, di sini sebelum ini.

''Setakat ini, saya difahamkan JAIS tidak mengeluarkan sebarang tauliah kepada beliau (Akhil).

''Namun, sekiranya beliau mahu mengadakan ceramah di negeri ini, kita sarankan supaya beliau membuat permohonan termasuk mengikuti setiap prosedur yang ditetapkan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Akhil yang sering mengadakan ceramah agama di negeri itu termasuk di televisyen mempunyai tauliah ditetapkan oleh jabatan itu atau sebaliknya.

Isu tauliah penceramah agama mendapat perhatian meluas media baru-baru ini apabila Bahagian Penguatkuasaan JAIS menahan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin kerana mengadakan ceramah tanpa tauliah di Taman Seri Ukay, Hulu Klang pada 1 November lalu.

Pada 12 November lalu, Mohammed Khusrin menerusi kenyataannya pernah menegaskan mana-mana individu yang ingin mengadakan ceramah atau khutbah agama di Selangor perlu mendapatkan kebenaran jabatan berkenaan terlebih dahulu.

Menurutnya, kebenaran itu merupakan arahan yang termaktub dalam enakmen berkenaan termasuk golongan yang dikecualikan daripada syarat tauliah seperti ulama, mufti negeri, jawatankuasa fatwa, hakim atau pendaftar mahkamah syariah, menteri atau Exco yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama Islam.

Bagaimanapun, golongan yang mendapat pengecualian itu hanya perlu mengemukakan notis bertulis kepada JAIS sebelum mengadakan sebarang aktiviti berkenaan di Selangor.

Jelas Mohammed Khusrin, tauliah dan notis kebenaran itu wujudkan bagi memastikan aktiviti ceramah, khutbah atau kuliah agama di negeri itu dilaksanakan tanpa memberi kesan negatif terhadap akidah serta perpaduan di kalangan umat Islam.

Tiada ulasan: