Isnin, 12 Januari 2009

Polis bersifat `Talam dua muka' anti Israel

Saidah Hairan


KUALA LUMPUR - Tangkapan seramai 21 orang aktivis yang menghadiri himpunan aman mengecam tindakan biadap dan ganas zionis Yahudi Israel terhadap umat Islam Palestin menunjukkan seolah-olah pihak polis bersifat `talam dua muka'.

Berikutan tangkapan tersebut Ketua Dewan Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh amat kesal dengan tindakan tidak profesional pihak polis yang tidak memberi kesempatan kepada aktivis untuk menunjukkan protes mereka.

Menurut beliau mereka membuat perhimpuan itu untuk menyatakan rasa protes terhadap keganasan zionis Israel.

"Protes anti Israel itu tindakan menyeluruh dilakukan rakyat seluruh dunia tetapi kenapa pihak polis mengambil tindakan membuat tangkapan terhadap perhimpunan malam itu," tegasnya.

Beliau mempersoalkan adakah disebabkan ramai yang hadir dalam perhimpunan itu ahli Jerit dan jika perkara itu benar ia suatu tindakan yang akan mengundang kesan yang tidak baik terhadap masyarakat bukan Islam.

Ini kerana katanya mereka boleh membuat perbandingan dalam perhimpunan pada setiap hari Jumaat yang dihadiri ramai umat Islam polis tidak mengambil apa-apa tindakan sebaliknya memberi peluang selama satu jam untuk meluahkan bantahan.

Menurut beliau cara tangkapan itu juga menunjukkan pihak polis bertindak tidak profesional kerana ketika Charles Santiago dan Dr Mohd Nasir cuba berbincang dengan pihak polis manakala SB di belakang membuat kepungan.

Beliau mempersoalkan bagaimana sikap polis Malaysia apakah mereka mengikut masa-masa tertentu menyokong perjuangan rakyat Palestin dan dalam masa yang sama mengambil tindakan terhadap penyokong perjuangan tersebut.

"Apakah pihak polis di Malaysia bersifat `talam dua muka'," tegasnya.

Dalam tangkapan polis menahan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad; Penyelaras Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) Arutchelvan Subramaniam; Adun Kota Damansara yang juga Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Mohd Nasir Hashim, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago serta beberapa orang aktivis Suaram._SH _

Tiada ulasan: