Rabu, 20 Ogos 2008

Seorang lagi ahli politik kanan Sabah disiasat BPR

KUALA LUMPUR: Seorang lagi ahli politik kanan Sabah difahamkan sedang disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) atas dakwaan melakukan rasuah membabitkan hampir RM60 juta.

Bernama difahamkan siasatan terhadap ahli politik itu dimulakan selepas BPR Sabah menerima 23 laporan daripada ketua cawangan sebuah parti politik bulan lepas berhubung perkara itu.

Difahamkan ahli politik yang disyaki itu ialah bekas pengerusi sebuah syarikat pemaju perumahan.

Bernama difahamkan BPR Sabah telah merampas fail dan dokumen dari syarikat itu baru-baru ini dan mengambil keterangan daripada beberapa pegawai kanan syarikat itu untuk membantu siasatan.

Difahamkan ahli politik itu telah mempengaruhi dan merasuah beberapa anggota Lembaga Pengarah syarikat pemaju perumahan itu, bagi mendapatkan projek perumahan untuk syarikat pembinaan miliknya.

Bernama juga difahamkan kebanyakan projek itu yang diperoleh ahli politik itu tidak disiapkan mengikut jadual.

Ahli politik itu juga didakwa telah menggunakan kuasanya untuk memberikan kontrak kecil kepada proksinya yang termasuk beberapa ahli politik kanan.

Sebagai balasan, ahli politik itu didakwa menerima berjuta ringgit sebagai suapan.

Pengadu dalam kes itu, yang hanya mahu dikenali sebagai Zul, berkata beliau telah menghantar surat rasmi kepada Majlis Tertinggi parti ahli politik itu untuk mengambil tindakan lanjut terhadap ahli politik berumur 48 tahun itu.

"Dalam surat itu, saya dengan jelas menyatakan kesalahan yang telah dilakukan. Saya harap BPR akan menjalankan siasatan yang adil terhadap kesalahan yang dilakukannya sejak 2004."

Zul berkata beliau telah membuat laporan di Balai Polis Semporna awal bulan lepas mengenai perkara itu.

Bernama juga difahamkan pengadu telah membuat akuan bersumpah di Mahkamah Majistret Semporna pada bulan lepas berhubung laporannya itu. BERNAMA

Tiada ulasan: