Sabtu, 2 Ogos 2008

MB dituntut bertanggung jawab atas kekalahan saman

Basiron Abdul Wahab

KUANTAN - Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh menuntut Menteri Besar Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakub bertanggung jawab sepenuhnya di atas kekalahan kerajaan negeri Pahang dalam kes saman oleh Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd.

Menurut Fuziah, sikap tidak bertanggung jawab Kerajaan Negeri Pahang yang diterajui Menteri Besar dengan membelakangkan prinsip-prinsip 'good governance', ketelusan dan integriti menyebabkan kerajaan negeri diarah oleh mahkamah membayar RM77.1 juta kepada syarikat berkenaan.

"Rakyat harus menuntut supaya wang rakyat tidak disentuh oleh Menteri Besar dan kerajaan negeri dalam melangsaikan bayaran saman berkenaan," katanya.

Katanya, adalah tidak wajar dan tidak adil kepada rakyat apabila terpaksa memikul beban kesalahan kerajaan negeri di samping menanggung kerugian dalam berbagai bentuk akibat pentadbiran yang tidak bertanggung jawab.

Menurutnya, ini adalah suatu kezaliman kerajaan negeri pimpinan Adnan terhadap seluruh Rakyat negeri Pahang.

Fuziah turut mempersoalkan bagaimana kerajaan negeri Pahang akan membayar RM37.1 juta dengan faedah 8 peratus setahun mulai 31 Disember 2000 sedangkan kerajaan negeri mempunyai hutang tertunggak berjumlah RM1.72 bilion (menurut akaun negeri berakhir Disember 2006 yang telah disahkan oleh Ketua Audit Negara).

"Ini juga bermaksud rakyat sekali lagi akan dibebankan dengan hutang baru. Jika selama ini pun rakyat telah bertungkus lumus bekerja keras, membayar cukai, kemudian terpaksa pula melihat wang mereka digunakan untuk membayar saman hasil daripada pentadbiran yang tidak bertanggung jawab," kata Fuziah dalam kenyatannya.

Turut hadir didalam sidang media ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pahang kawasan Triang, Leong Ngah Ngah, Adun Tras dan Beserah, Chong Siew On, Syed Mohamad Tuan Syed Lonik serta bekas Adun Beserah Dato' Fauzi Abdul Rahman serta pengarah Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd, Syed Ali.

Mahkamah Tinggi Kuantan telah mengeluarkan perakuan perintah untuk amaun penghakiman terhadap kerajaan Pahang pada 7 March 2008 yang lalu, berdasarkan peghakiman di Mahkamah sama bertarikh 25 Mei 2007 telah dihakimkan kepada defeden (kerajaan negeri dan pengarah perhutanan Pahang) supaya membayar kepada Plantif (Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd) sebanyak RM37,127,471.60 dengan faedah 8 peratus setahun mulai 31 Disember 2000.

Plantif (seruan Gemilang makmur Sdn Bhd) telah berjaya di dalam samannya di Mahkamah Tinggi Kuantan dan di Mahkamah Rayuan di Putrajaya terhadap defenden dan kini sedang menunggu keputusan muktamad daripada Mahkamah Persekutuan iaitu Mahkamah tertinggi di negara ini. - mns_

Tiada ulasan: