Sabtu, 30 Januari 2021

Vaksin Pfizer tiada kesan sampingan serius - Dr Jemilah

KUALA LUMPUR: Vaksin Pfizer yang dijadual mula dibekalkan ke Malaysia secara berperingkat bulan depan tidak mempunyai kesan sampingan serius.

Penasihat Hal Ehwal Kesihatan Awam Perdana Menteri, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood, ketika memberikan jaminan itu sebaliknya, berkata penerima mungkin mengalami sakit yang sedikit di bahagian suntikan.

"Ia sama seperti suntikan yang diterima seperti biasa di klinik atau hospital. Vaksin yang kita beli ialah vaksin berkesan dan selamat.

"Vaksin seperti Pfizer dan AstraZeneca yang kita peroleh, sudah diuji kepada puluhan ribu sebelum ia diluluskan di negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kesatuan Eropah.

"Vaksin Pfizer didapati mempunyai tahap keberkesanan sehingga 95 peratus. Itu ialah tahap keberkesanan yang sangat tinggi.

"Pandemik COVID-19 masih merebak dengan pantas di seluruh dunia, tetapi sekarang kita melihat ada sinar cahaya dalam kegelapan wabak ini dengan adanya vaksin COVID-19," katanya dalam mesej khas yang disiarkan, kelmarin.

Dr Jemilah berkata, Muzakarah Majlis Kebangsaan Islam turut menetapkan hukum pengambilan vaksin COVID-19 tatkala pandemik ialah harus.

Sehubungan itu, katanya, program imunisasi kebangsaan harus meliputi seramai mungkin rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas bagi menjamin keberkesanan vaksin COVID-19.

"Ini kerana semakin ramai diberi vaksin, semakin susah untuk COVID-19 menjangkiti orang dan menyebabkan penyakit COVID-19. Kerajaan akan sediakan vaksin ini secara percuma kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Walaupun vaksin ini tidak diwajibkan, saya merayu kepada semua yang layak mendapatkan vaksin ini. Mari kita sama-sama putuskan rantaian jangkitan.

"Kerajaan akan umumkan cara pendaftaran untuk vaksin COVID-19 dalam tempoh terdekat. Ingat, kita bukan saja melindungi diri kita apabila menerima vaksin COVID-19, tetapi kita juga pastikan orang lain selamat. Lindung diri, lindung semua," katanya.

Tiada ulasan: