Jumaat, 29 Januari 2021

Pakar cadang pelan 5 tahun atasi kekurangan buruh di ladang kelapa sawit

 
 
Satu kajian baru-baru ini menunjukkan kekurangan tenaga kerja lebih memudaratkan 
industri minyak sawit Malaysia daripada penurunan harga global.

PETALING JAYA: Seorang penganalisis minyak sawit berkata, Putrajaya perlu memperbetulkan dasar pasaran buruhnya bagi mengatasi masalah kekurangan buruh yang dihadapi oleh industri minyak sawit.

Sathia Varqa, pemilik Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura, mencadangkan pelan lima tahun yang sistematik bagi mengatasi kekurangan buruh yang dihadapi oleh industri berkenaan dalam jangka panjang.

Beliau memberitahu FMT bahawa industri itu bukan satu-satunya yang berdepan kekurangan buruh, dengan menegaskan bahawa Malaysia berdepan isu dasar pasaran buruh, “bukannya masalah kekurangan buruh”.

“Ia sangat parah dalam sektor kelapa sawit kerana kebergantungan kepada pekerja asing, iaitu hampir 80%, terutama dalam kerja penuaian dan berkaitan lapangan.

“Malaysia tidak unik dalam masalah ini. Negara berpendapatan sederhana sering terjebak dalam perangkap pendapatan menengah, yang menyasikan tahap pendapatan tertentu dicapai, tetapi kemudian ekonomi tersekat di situ kerana beberapa sebab struktur.

“Kekurangan pelaburan tetap dalam kemahiran, produktiviti dan teknologi melambatkan pertumbuhan umum kecuali kita menggaji dan membayar gaji lebih rendah kepada pekerja dari negara berpendapatan rendah,” katanya.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Ahmad Parveez Ghulam Kadi berkata, Putrajaya perlu membenarkan lebih banyak pekerja asing diambil sebagai langkah jangka pendek, selain menambah bahawa firma terbabit akan menanggung kos saringan Covid-19 mereka.

Beliau memberitahu FMT bahawa usaha perlu dipertingkatkan untuk menarik lebih ramai rakyat Malaysia, seperti Orang Asli, dengan menyebarkan berita mengenai manfaat industri itu serta kekurangan buruh yang dihadapinya.

“Pemilik ladang dan industri perladangan dan komoditi serta Kementerian Sumber Manusia perlu bekerjasama mengadakan jerayawara untuk menyebarkan maklumat kepada pekerja tempatan, terutama belia, dan menganjurkan hari kerjaya di kawasan luar bandar,” katanya.

Ahmad Parveez berkata, lebih banyak dana boleh diperuntukkan untuk Skim Insentif Mekanisasi Sawit (OPIMIS) bagi mendorong pemilik ladang terus menerapkan mekanisasi dan automasi.

Beliau berkata, perlu juga ada penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang berterusan dalam jentera yang boleh dipercayai dan akan meningkatkan produktiviti serta mengurangkan pergantungan buruh dan kos pengeluaran.

“Baru-baru ini kami memperkenalkan idea untuk membentuk konsortium mekanisasi, automasi dan penyelidikan untuk kelapa sawit, untuk memikirkan dan menghasilkan mekanisasi praktikal dengan harga berpatutan dalam industri itu, terutama untuk penuaian kelapa sawit yang intensif buruh,” katanya.

Dalam satu kajian Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) berkata, kekurangan buruh lebih memudaratkan kedua-dua ladang dan pekebun kecil dalam industri minyak sawit negara berbanding penurunan harga global.

Kajian itu menyebut, pengurangan buruh sebanyak 30% dari tahap semasa akan menyaksikan pengeluaran menurun sebanyak separuh, dan penurunan sebanyak 80% akan menyebabkan kemusnahan sistem dengan pengeluaran hanya 20% daripada perniagaan biasa.

Pada Julai tahun lalu, CEO Persatuan Minyak Sawit Malaysia, Mohamad Nageeb Wahab berkata, industri itu kehilangan sehingga 25% daripada potensi hasil minyak sawitnya kerana kekurangan buruh.

Beliau memberi amaran bahawa kerugian akan meningkat sekiranya pembekuan pengambilan pekerja asing tidak ditarik balik, dengan berkata, negara sudah kekurangan sekitar 36,000 pekerja sebelum pandemik Covid-19.

Dalam usaha untuk mengatasi hal itu, pada Nov, Putrajaya mengumumkan ia akan menjalankan Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) hingga 30 Jun tahun ini untuk “menyusun semula” pekerja asing tanpa dokumen.

Tiada ulasan: