Ahad, 31 Januari 2021

Tiada kompromi libatkan hak, kebajikan kanak-kanak – Rina Harun

MGF12112020_RINA-HARUN-4
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan berkompromi dengan kesalahan yang melibatkan hak dan kebajikan kanak-kanak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, pihaknya akan terus komited meningkatkan kesedaran masyarakat melalui kerjasama pelbagai pihak dalam usaha melindungi kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama.

Malah kata Rina, sememangnya beliau akan memastikan tindakan tegas diambil kepada pesalah yang terlibat dengan penderaan dan salah laku kanak-kanak.

“Ingin saya menzahirkan rasa hiba dan kesedihan yang amat mendalam atas kematian Allahyarham Adik Zubaidi Amir Qusyairi bin Abdul Malik semalam malah saya turut merasakan keperitan dan kedukaan yang dirasai oleh ibu-ibu yang mempunyai anak sebaya dengan Allahyarham.

“Saya berkehendakkan agar kematian Allahyarham Adik Zubaidi disiasat segera dengan teliti, dan hukuman yang tegas dan setimpal diberikan kepada pesalah agar perkara sebegini tidak berulang lagi.

“Juga ini akan menjadi pengajaran kepada para ibu bapa yang cuai dalam penjagaan anak, termasuklah yang melakukan penderaan dan salah laku kepada kanak-kanak.

“Sesungguhnya kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana- mana kesalahan yang melibatkan hak dan kebajikan kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rina menyatakan demikian bagi mengulas insiden seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun meninggal dunia dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya di sebuah rumah di Taman Krubong Jaya, Melaka.

Mangsa telah ditemukan lemas dalam tong air di rumah berkenaan dengan terdapat beberapa kesan kecederaan di beberapa bahagian badan sekitar jam 4 petang semalam.

Susulan daripada insiden itu, ibu kandung serta bapa tiri mangsa ditahan polis bagi siasatan lanjut dan proses bedah siasat dijangka selesai malam ini.

Kata Rina, kini pihaknya sedang mengkaji secara menyeluruh Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara dengan menitikberatkan agar kanak-kanak bebas daripada segala perkara negatif melalui advokasi, pencegahan dan khidmat sokongan.

“Saya minta semua rakyat Malaysia terus menanamkan rasa cintakan keluarga dan menghargai anak-anak sebagai suatu amanah dan anugerah daripada Tuhan. 

“Atas semangat ‘KitaJagaKita’, saya berharap agar masyarakat turut menjadi mata dan telinga kepada kerajaan dan terus memupuk sikap ambil peduli kepada masalah kejiranan  setempat agar dapat terus melaporkan sebarang kecurigaan kepada pihak berkuasa,” ujarnya. 

Rina meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penderaan kanak-kanak melaporkannya ke Talian Kasih 15999 dan Talian Whatsapp 019-2615999 yang beroperasi 24 jam.

Merka juga boleh buat laporan di 108 Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) di seluruh negara atau Balai Polis yang berdekatan.

Sementara itu, Rina berkata, mereka yang berhasrat mengambil atau telah mengambil kanak-kanak ke dalam pemeliharaan, jagaan atau kawalannya perlu membuat pemakluman kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat seperti mana yang tertakluk dalam Akta Kanak-kanak 2001. 

Jabatan Kebajikan Masyarakat bersedia memberi khidmat nasihat terhadap peraturan-peraturan dan prosedur yang sah yang perlu dipatuhi dalam urusan pengambilan anak angkat,” ujarnya. -MalaysiaGazette

Tiada ulasan: