PETALING JAYA: Sebuah kumpulan perubatan meminta kerajaan mengambil langkah segera untuk menyiapkan strategi pelancaran vaksin Covid-19 negara.
Gabungan Kesihatan Malaysia, yang dianggotai lebih 50 pertubuhan kesihatan tempatan dan pakar bebas, memperincikan langkah perlu diambil untuk memaksimumkan keberkesanan pelan imunisasi yang akan dimulakan dalam masa beberapa bulan lagi.
Dalam kenyataan, kumpulan itu berkata keyakinan terhadap vaksin perlu ditanam dalam masyarakat dengan membendung maklumat yang salah dan teori konspirasi yang tersebar di media sosial serta dalam grup sembang.
“Kerajaan harus melibatkan diri dengan semua lapisan masyarakat untuk menggiatkan pendidikan awam mengenai vaksin, dan memerangi maklumat yang salah,” katanya.
“Kami juga menggesa pihak berkepentingan bukan kerajaan seperti media, akademik, perniagaan, pihak berkuasa agama dan pertubuhan masyarakat sivil untuk memainkan peranan mereka dalam memastikan hanya maklumat mengenai vaksin berdasarkan bukti akan diterbitkan dan dikongsi.”
Gabungan itu berkata, selain petugas barisan hadapan perubatan, keutamaan untuk vaksin juga harus diberikan kepada penghuni dan petugas rumah jagaan, pekerja asing dan pelarian, berdasarkan kerentanan mereka terhadap jangkitan.
Katanya, Malaysia perlu membangunkan infrastruktur untuk membolehkan keupayaan vaksin jangka panjang.
“Ini termasuklah pembangunan dari hujung ke hujung, dari penyelidikan ilmiah bertaraf dunia hingga pembuatan dan pengedaran antarabangsa,” yang akan mengurangkan pergantungan negara ini kepada pengeluar asing.
“Infrastruktur vaksin dan farmaseutikal domestik akan membawa kesan positif yang besar terhadap ekonomi dan kedudukan global kita,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan