BATU PAHAT: Seorang pemandu maut, manakala penumpangnya parah apabila kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori dalam kemalangan di Kilometer 4, Jalan Yong Peng-Muar dekat Parit Yaani, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata identiti kedua-dua mangsa belum dikenal pasti namun dipercayai berusia antara 33 hingga 43 tahun.
Katanya, dalam nahas kira-kira jam 3.30 petang itu, pemandu kereta berkenaan adalah dalam perjalanan dari arah Batu Pahat ke Yong Peng.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta gagal mengawal kenderaannya sebelum masuk ke lorong sebelah kanan dan bertembung dengan lori.
"Akibat perlanggarann, lelaki berusia 43 tahun yang juga pemandu kereta meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penumpangnya wanita yang parah dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk diberikan rawatan," katanya dalam kenyataan di sini.
Ismail berkata, pemandu lori berusia 34 tahun dan kelindan berusia 43 tahun tidak cedera dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, pihak bomba terpaksa menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan pemandu kereta yang tersepit sebelum mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk urusan selanjutnya.
"Sepasukan enam anggota dan satu jentera LFRT dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP)Yong Peng dihantar ke tempat kejadian.
"Operasi menyelamat ditamatkan pada jam 4.22 petang," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan