Ahad, 31 Januari 2021

6 kategori pelajar dibenar kembali ke kampus 1 Mac

ainulillia

Pelajar akan ikuti PdP secara hibrid atau dalam talian

PUTRAJAYA – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyenaraikan enam kategori pelajar yang dibenarkan kembali ke kampus secara fizikal seawal 1 Mac depan.

KPT memberitahu, mereka akan mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara hibrid iaitu secara fizikal dan dalam talian.

“Kategori pertama adalah pelajar daripada program pengajian peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda dan pasca siswazah yang memerlukan praktikal, makmal, klinikal, latih amal, studio, bengkel serta peralatan khas.

“Kategori kedua adalah pelajar yang tidak mempunyai akses dan persekitaran tidak kondusif bagi melaksanakan PdP dalam talian. Kategori ketiga adalah pelajar program asasi atau setara dan diploma sedia ada di kampus boleh meneruskan pembelajaran secara hibrid.

“Kategori keempat pula adalah semua pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu kecuali dari United Kingdom,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

KPT menambah, kategori kelima pula adalah pelajar Berkeperluan Khas (OKU) dan keenam mereka yang menduduki peperiksaan Malaysia University English Test (MUET), antarabangsa serta badan profesional.

KPT menjelaskan, pelaksanaan PdP secara hibrid di dalam kampus boleh dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) dan mengutamakan keselamatan serta kebajikan pelajar.

“Pelajar yang tidak termasuk dalam kategori pelajar berkeperluan pula akan meneruskan PdP secara dalam talian,” katanya.

KPT menegaskan pihaknya mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan sesi libat urus bersama Majlis Perwakilan Pelajar, pihak pengurusan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), Kementerian Kesihatan (KKM), pakar kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan tarikh kemasukan pelajar ke kampus secara fizikal.

Tiada ulasan: