KUALA LUMPUR: Tahap risiko ancaman penggodam siber di negara ini masih terkawal kerana kebanyakan organisasi awam dan swasta sudah mengambil langkah mengukuhkan keselamatan sistem masing-masing selain sentiasa siap siaga.
Ketua Jabatan Pasukan Tindakbalas Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT), Megat Muazzam Abdul Mutalib, berkata ancaman yang dibuat oleh kumpulan penggodam Anonymous Malaysia baru-baru ini adalah berbeza dengan ancaman yang pernah dilaporkan pada 2015.
"Ancaman pada 2015, ada propaganda khusus iaitu rasa tidak puas hati dengan keadaan pada waktu itu dan ada elemen ancaman (secara fizikal). Tetapi ancaman terkini, daripada apa yang dimaklumkan ia berkaitan tidak puas hati dengan isu pangkalan data dan kebocoran data.
"Antara tujuan pihak tertentu membuat ancaman ialah untuk mendapatkan maklumat sulit, merencat perkhidmatan atau memberitahu rasa tidak puas hati," katanya ketika dihubungi Bernama Radio dalam program Dalam Radar bertajuk Ancaman Anonymous Malaysia hari ini.
Baru-baru ini satu klip video tular di platform media sosial mengenai kumpulan penggodam "Anonymous Malaysia" yang membuat ancaman serta mendakwa sistem keselamatan Malaysia berada pada tahap rendah dan boleh menyebabkan penggodam menjual segala maklumat yang bocor, selain lebih 46 juta data pengguna syarikat telekomunikasi telah digodam hingga hari ini.
Bagaimanapun, setakat semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum menerima sebarang laporan terdapat laman sesawang kerajaan yang digodam selepas ancaman dibuat kumpulan penggodam itu.
Sementara itu Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) mengeluarkan satu notis amaran kepada semua agensi kerajaan untuk mengambil langkah-langkah perlu bagi mencegah dan meminimumkan impak ancaman serangan siber.
Pada 2015, media melaporkan polis menahan tiga individu dipercayai terbabit memuat naik klip video di laman YouTube bertajuk, We Will Blast Malaysia. Penahanan itu ekoran video berdurasi satu minit 28 saat menggunakan nama Anonymous Malaysia yang memaparkan insiden letupan bom di Bangkok, Thailand dan mendakwa akan membuat tindakan sama di negara ini.
Megat Muazzam berkata masih terdapat segelintir organisasi yang belum bersedia dengan pelan mengurus ancaman siber dan beliau berharap isu ancaman dalam talian diberikan perhatian serius oleh semua pihak baik organisasi, penyedia perkhidmatan dan pengguna.
Beliau berkata kemungkinan untuk pihak berkuasa mengesan penggodam siber adalah tinggi kerana setiap serangan biasanya meninggalkan jejak digital yang boleh dikesan organisasi yang menjadi mangsa melalui sistem keselamatan yang mempunyai log dan boleh membantu siasatan digital forensik. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan