MALAYSIAKINI
Keputusan kerajaan membenarkan sektor perhutanan dan perkayuan serta rantaian melibatkan pembalakan beroperasi seperti biasa berkuat kuasa hari ini, membolehkan ia terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara walaupun semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata langkah berkenaan melegakan industri perkayuan terutamanya sektor perabot di seluruh negara yang secara tidak langsung memberi manfaat kepada mangsa banjir untuk mendapatkan bekalan perabot yang sebelum ini musnah akibat bencana itu.
“Sebagai makluman, sektor perabot dianggar menggunakan 85 peratus bahan mentah tempatan untuk menghasilkan perabot.
“Memandangkan sektor perhutanan dan pembalakan di bawah bidang kuasa Kementerian Tenaga dan Sumber Asli melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, kementerian ingin merakamkan ucapan penghargaan atas kerjasama untuk memproses kebenaran beroperasi sektor tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Khairuddin berkata pihaknya akan memastikan bekalan bahan mentah mencukupi kepada sektor perkayuan di peringkat pemprosesan serta penghasilan produk primer dan hiliran.
Sementara itu, beliau mengingatkan semua pihak agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengelakkan kebenaran beroperasi itu ditarik balik.
“Pihak industri perlu memastikan segala peraturan dan undang-undang Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446) dipenuhi yang melibatkan penyediaan kemudahan kediaman pekerja bagi mengelakkan penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja.
“Kementerian berharap sektor perkayuan dapat terus menyumbang kepada ekonomi negara walaupun dalam situasi sukar ketika ini,” katanya.
Beliau berkata perdagangan sektor perkayuan bagi tempoh Jan hingga Nov 2020 masih menunjukkan prestasi yang baik dengan nilai eksport berjumlah RM19.8 bilion meskipun berhadapan pandemik Covid-19.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan