KUALA LUMPUR – Satu lubang liang lahad, upahnya RM150 dan dibahagikan sama rata kepada tiga orang.
Itulah pendapatan seorang penggali kubur seperti Ardi Alias.
Lelaki berusia 59 tahun itu berkata, setiap hari kehidupannya sekeluarga terpaksa mengikat perut dan berjimat cermat demi menampung keperluan harian.
“Sekarang amat sukar tapi bantuan daripada anak-anak sikit-sikit, adalah juga memang kena berjimat apatah lagi dalam keadaan sekarang.
“Anak-anak ada bantu tapi mereka pun ada keluarga masing-masing,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Dengan elaun yang diberikan dan kediaman di kuarters Masjid As- Sobirin Lembah Keramat, kadangkala Ardi hanya dapat RM300 hingga RM600 sebulan.
Jumlah itu perlu digunakan bukan hanya untuk makan anak beranak tetapi juga untuk menyara ibu mentua yang sedang uzur yang kini berusia 88 tahun.
Meskipun mempunyai lima anak namun Ardi berpegang kepada prinsip tidak mahu menyusahkan mereka yang kesemuanya sudah bekerluarga.
“Sebulan kadang dapat RM600 kadang dapat RM300. Saya duduk kuarters penggali kubur dekat kawasan Masjid As Sobirin. Saya tidak ada dapat bantuan dari mana-mana memang mengharapkan daripada pendapatan gali kubur dan orang yang menziarah kubur kalau diberi,” ujarnya.
Ardi merupakan salah seorang asnaf yang menerima bantuan daripada enam syarikat swasta pada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang dianjurkan bersama Masjid As-Sobirin, Lembah Keramat semalam.
Beliau yang tinggal di Kampung Pasir Hulu Kelang sejak 30 tahun yang lalu berkata, apa yang membuatnya kuat menempuh kehidupan adalah menyedari ada orang lain yang lebih susah dari dirinya.
“Waktu ini (Covid-19) bukan saya sahaja yang susah, itu yang saya fikir dan buat saya kuat,” ujarnya.-MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan