KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin sedia mengemukakan bukti dan memberi kerjasama penuh sekiranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu menjalankan siasatan terhadapnya berkenaan isu rundingan terus (RT) dua projek yang didedahkan baru-baru ini.
“Semua ada dalam fail jadi sekiranya ada siasatan lanjut daripada SPRM dan sebagainya saya akan berikan dokumen.
“Jadi saya tidak mahu panjangkan kepada media, sekiranya ada SPRM nak siasat tidak jadi masalah,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Mesyuarat Agung Perwakilan Koperasi Pekerja Bomba dan Penyelamat Malaysia (KOBOPEM) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Zuraida berkata, beliau membuat kenyataan tidak mengetahui tentang dua projek yang diluluskan menerusi RT berkemungkinan kerana ia diluluskan semasa fasa awal pelantikkannya sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan selepas Pakatan Harapan (PH) menubuhkan kerajaan.
Tambahnya lagi, berdasarkan Peraturan Kewangan proses yang melibatkan RT adalah di antara Kementerian Kewangan dan Ketua Setiausaha KPKT.
“Peraturan Kewangan bila ada rundingan terus MOF dengan Pegawai Pengawal, kalau KPKT pegawai Pengawal adalah KSU. Jadi pada tahap RT memang komunikasi di antara MOF dengan KSU.
“Dalam masa itu saya tidak terlibat sebab saya baru lagi masa itu,” jelasnya
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bahawa mustahil Zuraida tidak mengetahui tentang Projek Sisa Pepejal Taman Beringin (PSPTB) yang diluluskan secara rundingan terus.
Guan Eng semalam berkata sudah menjadi amalan sejak sekian lama, kementerian yang bertanggungjawab akan membuat permohonan kepada Kementerian Kewangan untuk mana-mana projek RT.
Ahli Parlimen Bagan itu turut menambah bahawa KSU KPKT boleh dikenakan tindakan disiplin sekiranya permohonan dua projek berkenaan dibuat tanpa pengetahuan Zuraida.
Untuk rekod, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz mendedahkan senarai 101 projek bernilai RM6.61 bilion diluluskan secara rundingan terus ketika pemerintahan PH.
Antara dalam senarai itu adalah dua projek di bawah KPKT yang Zuraida juga sebagai menteri ketika itu, iaitu PSPTB bernilai RM170,294,400 dan Sistem Perisian Perakaunan Century (RM501,206.37).- MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan