Ahad, 20 September 2020

Perang habis-habisan kalau ada nak ulang insiden Lahad Datu – Najib

Shawaliah Hadir
MGF18092020_NAJIB-PROGRAM-BOSKUU12-681x454
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada Program Bersama Bossku sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 Sabah di Kampung Sembulan Lama, Putatan, Sabah. foto HAZROL ZAINAL

KOTA KINABALU – Kedudukan Sabah sama sekali tidak wajar untuk dipertikaikan oleh sesiapa termasuk Filipina, kata Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak.

Justeru, menurutnya, tiada keperluan  berunding  dengan mana-mana pihak khususnya Filipina, seperti mana yang  dicadangkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal baru-baru ini.

Ujar beliau, kepimpinan yang diketuai Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) sepatutnya bersikap tegas mempertahankan kedudukan negeri di bawah bayu itu.

“Yang saya hairan orang Sabah (Shafie) sendiri bangkit perkara ini, pada saya kedudukan Sabah, kedaulatan Sabah tidak boleh dirunding.

“Kalau siapa yang nak pertikai kedudukan Sabah langkah mayat kita (BN) dulu,” katanya

Baru-baru ini Shafie mencadangkan agar kerajaan persekutuan untuk membuat rundingan kerajaan dengan kerajaan (G2G) dengan Filipina.

Menurut Najib, BN tidak akan berkompromi sebaliknya bersedia berdepan dengan pihak yang cuba menuntut negeri itu jika diberikan tampuk pemerintahan menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Pengalaman berhadapan dengan insiden Lahad Datu pada 2013 semasa menjadi Perdana Menteri akan dimanfaatkannya sekiranya ia berlaku sekali lagi, kata Najib.

“Kalau ada orang dari sana nak ulang balik Lahad Datu kita akan perang habis-habisan saya ada pengalaman di Lahad Datu masa jadi  Perdana Menteri.

“Kita bertindak tegas dan kalau ada Lahad Datu kedua kita akan memerangi mereka habis-habisan. Nak selamatkan Sabah nampaknya hanya BN sahaja boleh buat, Nasib Sabah, BN. Nak selamatkan Sabah, BN.

“Nak bawa kemajuan Sabah, BN,” tambah beliau. -MalaysiaGazette

Tiada ulasan: