Ahad, 20 September 2020

Ceroboh tanah di Raub: Veteran ATM mahu serah memorandum November ini

Mohd Zaini Samsu Hadi
MGF19092020_PC-SEKRETARIAT-VETERAN-BERTINDAK04-681x454
Presiden Gerakan Reformasi Veteran ATM, Azizan Salleh bercakap kepada media selepas mengadakan persidangan mengenai permasalahan veteran dan isu tanah haram oleh 20 wakil NGO di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI,

KUALA LUMPUR – Seketariat Veteran Bertindak akan menghantar memorandum kepada tiga pihak pada sidang Parlimen akan datang bagi menuntut hak-hak membabitkan pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sepatutnya telah lama ditunaikan oleh kerajaan.

Memorandum tersebut akan diserah kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden Gerakan Reformasi Veteran ATM, Veteran Bangkit (GRVATM), Azizan Salleh berkata, ia merupakan memorandum pertama yang dihantar oleh Veteran Bertindak bagi menuntut
hak yang pernah dijanjikan sebagai membalas jasa pengorbanan mereka mempertahankan tanahair.

Katanya, langkah itu tercetus selepas tersebar berita mengenai penerokaan tanah secara haram di Raub oleh beberapa pekebun baru-baru ini.

“Kita pergi bukan mahu tunjuk perasaan tapi kami mahu tuntut hak.

“Ini bukan isu politik bagi veteran tentera, tapi soalnya kenapa ada berlaku pencerobohan ditanah kerajaan,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas simposium permasalahan veteran dan isu tanah haram di sini hari ini.

Azizan berkata, beliau amat terkejut dengan pendedahan tersebut apabila ada pihak secara mudah menceroboh tanah kerajaan untuk mengaut keuntungan bagi kepentingan diri sendiri.

Sedangkan beliau berkata, veteran seperti tentera lebih berhak terhadap tanah itu yang mana mereka boleh mendapatkan sekurang-kurangnya 20 ekar tanah di mana-mana negeri dalam Malaysia.

Katanya, perkara itu bukanlah satu perkara baharu, sebaliknya telah dinyatakan sejak tahun 1973 dan dibuat di Parlimen.

“Tidakkah tahu orang yang membuat format ini bahawa kuasa terhadap itu adalah di atas kuasa kerajaan negeri.

“Macam bekas tentera ini bila berhenti kalau nak mohon tanah kadang-kadang seperti serah kepada penguasa. Kita cari tanah lingkup macam itu,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Otai Reformis Perak, Abdullah Khalbi berkata, isu berkaitan tanah milik orang Melayu bukanlah isu kecil, sebaliknya ia perlu diambil berat oleh para pemimpin negara dan juga Raja-Raja Melayu.

MGF19092020_PC-SEKRETARIAT-VETERAN-BERTINDAK07
Abdullah Khalbi

Katanya, isu pencerobohan tanah secara tidak bertanggungjawab boleh memberi kesan kepada generasi akan datang dan pemimpin negara perlu serius terhadap perkara itu.

“Isu ini merupakan perkara yang sangat-sangat serius, bukan isu kecil dan kita harap lepas ini pemimpin negara akan sedar tentang kesilapan mereka.

“Termasuklah dalam kalangan yang di istana. Sedarkah mereka mempertahankan hak dan keistimewaan orang-orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan adalah tanggungjawab mereka. kepada siapa lagi kita nak harapkan kalau bukan Raja-Raja Melayu. Itu saja yang kita masih ada,” ujarnya.

Pengerusi Pahlawan Patriotik Malaysia, Husnal Azhari Sanusi berkata, tindakan yang diambil oleh Gerakan Veteran merupakan langkah awal sebelum banyak lagi perkara yang akan dibincangkan.

Ujarnya, jawatankuasa teknikal gerakan itu akan meneruskan tindakan apa yang telah dibincangkan pada hari ini secara berfokus.

“Jadi, kalau ada apa-apa perkara membabitkan tindakan politik kita akan putuskan nanti.

MGF19092020_PC-SEKRETARIAT-VETERAN-BERTINDAK08
Husnal Azhari Sanusi

“Ini merupakan gabungan. Pada masa ini kita ketepikan ideologi parti politik masing-masing untuk satu tujuan,” jelasnya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: