Anggota Parlimen Klang Charles Santiago mencadangkan penubuhan sebuah pihak berkuasa perlindungan sungai, susulan pengulangan gangguan bekalan air yang berpunca daripada pencemaran di sungai.
Bekas pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) itu berkata, badan itu perlu mewujudkan kawasan penampan seluas 300 hingga 400 meter di sekitar sungai, di mana tiada kegiatan perniagaan boleh dilakukan di dalamnya.
"Kerajaan perlu menubuhkan Lembaga Perlindungan Sungai Negara dengan kadar segera. Badan itu kemudian perlu mewujudkan zon penampan seluas 300 hingga 400 meter.
"Polis dan badan penguatkuasa lain boleh ditugaskan untuk memantau kawasan itu dengan bantuan CCTV dan teknologi lain," katanya dalam kenyataan hari ini.
Gangguan bekalan air terbaru di Kuala Lumpur dan Selangor berlaku sejak 3 September lalu setelah loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang.
Ia setelah pencemaran sumber air mentah dikesan di muka sauk loji, yang berpunca daripada pembuangan bahan tercemar di Sungai Gong, Rawang.
Pihak berkuasa telah menutup sebuah kilang penyelenggaraan jentera berat di Rawang yang disyaki menjadi punca gangguan. Empat lelaki pemilik kilang itu juga telah direman enam hari bermula semalam untuk siasatan lanjut.
Semalam, Exco Alam Sekitar Selangor Hee Loy Sian berkata, kilang tersebut didapati pesalah berulang kerana telah pun dikenakan kompaun RM60,000 untuk kesalahan sama beberapa bulan lalu.
Charles menggesa kerajaan menimbang untuk mewartakan undang-undang yang memberikan hukuman berat kepada syarikat yang menceroboh kawasan penampan tersebut.
"Dengan itu, kerajaan boleh melindungi sungai daripada syarikat yang membawa pelbagai pencemaran - antaranya toksik, kimia, plastik dan sampah," katanya sambil mendakwa tindakan meningkatkan denda tidak berjaya atas faktor korupsi.
Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya 9 September ini. Sejak 2019, Selangor dan Kuala Lumpur telah mengalami sekurang-kurangnya lima gangguan bekalan air.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan