Ahad, 6 September 2020

Kementerian dalam usaha ganti warga asing dengan Orang Asli di ladang sawit

MALAYAIAKINI

Malaysiakini

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dalam usaha menggantikan pekerja warga asing di ladang kelapa sawit dengan rakyat tempatan yang terdiri daripadan Orang Asli.

Menterinya, Mohd Khairuddin Aman Razali berkata perbincangan telah diadakan bersama Jabatan Kajian Orang Asli (Jakoa) dan latihan akan turut diberikan.

“Perbincangan telah dibuat dengan Jakoa bagi menarik orang asal bekerja di ladang dengan latihan diberikan oleh Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (Impac).

“Syarikat agensi pekerjaan juga dijemput membantu Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi mempromosi pekerjaan di ladang kepada warga tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan respons Khairuddin mengenai intipati perbincangan antara kementeriannya dengan Jakoa berhubung perkara tersebut.

Dia turut menyifatkan bahawa krisis pandemik Covid-19 yang melanda dunia termasuk Malaysia, yang mengehadkan jumlah pengambilan pekerja warga asing sebagai membuka ruang untuk warga tempatan dalam menceburkan diri di ladang kelapa sawit.

“Pendapatan sebagai pengait buah sawit boleh memberi pulangan sehingga RM3,000 sebulan dengan kediaman disediakan.

“Dalam keadaan harga buah tandan segar sawit (BTS) sekarang lebih daripada RM600 per tan berbanding sebelumnya sekitar RM300 sahaja, syarikat perladangan dan pekebun kecil boleh dan mampu menggaji warga tempatan untuk bekerja berbanding warga asing,” katanya.

Tiada ulasan: