Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
JOHOR BAHRU: Pembukaan empat premis hiburan di sekitar bandar raya ini seolah-olah ingin mencabar pihak berkuasa apabila masih beroperasi biarpun mengetahui larangan kerajaan sekali gus membuka ruang kehadiran ratusan pengunjung yang bersesak untuk berhibur tanpa mengendahkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Keadaan itu dapat dilihat selepas 264 pengunjung di empat premis hiburan itu ditahan dan dikenakan tindakan kompaun RM1,000 susulan serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor bermula malam semalam hingga awal pagi tadi.
Ketua JSJN negeri, Asisten Komisioner Mohd. Afzanizam Yahaya berkata, dalam serbuan pertama kira-kira pukul 11 malam, seramai 152 individu yang sedang asyik berhibur diperiksa polis.
Menurutnya, hasil saringan air kencing mendapati tiga pengunjung berusia antara 23 tahun dan 36 tahun positif dadah.
“Polis turut menahan seorang lelaki berusia 32 tahun yang mengaku pengurus premis tersebut dan gagal mematuhi syarat lesen perniagaan kerana menjual minuman keras serta tidak mengamalkan penjarakan sosial,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Afzanizam berkata, dalam operasi dari pukul 12.30 tengah malam hingga 8.30 pagi itu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Johor Bahru Selatan, Seri Alam dan Kulai melakukan tiga lagi serbuan di kawasan masing-masing.
Katanya, seramai 143 pengunjung premis hiburan terbabit diperiksa dan mendapati 18 individu berusia antara 17 tahun hingga 56 tahun positif dadah.
“Daripada 295 pengunjung yang diperiksa, seramai 264 individu dikenakan kompaun RM1,000 manakala mereka yang positif dadah ditahan reman dua hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Siasatan turut dilakukan di bawah Seksyen Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan