Selasa, 8 September 2020

Amanah Perak pandang serius isu pemberian tanah secara terpilih

 Manzaidi Mohd Amin

hamidahsprm
Hamidah (tengah) dalam laporannya kepada SPRM Perak semalam 
mendedahkan berlaku penyalahgunaan dalam pemberian tanah 
secara terpilih.

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) Perak memandang serius penularan dokumen dan dakwaan melibatkan kerajaan negeri itu berkaitan isu pemberian tanah secara terpilih dan tidak melalui proses sepatutnya kepada pihak tertentu dipercayai mempunyai kepentingan politik.

Menurut Pengarah Komunikasinya, Azhar Rahman, laporan telah dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan skandal tanah melibatkan 1,200 hektar di seluruh negeri Perak itu.

Sehubungan itu, katanya, Amanah negeri menyambut baik komitmen SPRM untuk menyiasat kes berkenaan dan akan mengikuti rapat perkembangan siasatan.

Ujar beliau, nama individu dan syarikat terlibat seperti terkandung dalam dokumen yang tular harus disiasat segera kerana kedudukan mereka dikatakan mempunyai akses kepada maklumat dan hal ehwal tanah kerajaan.

“Selain itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu juga harus bertanggungjawab untuk memberi penjelasan terhadap dakwaan ini, memandangkan beliau merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tanah dan Sumber Asli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Semalam, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menerusi Naib Presidennya, Datuk Hamidah Osman membuat laporan kepada SPRM berhubung pemberian tanah seluas 1,200 hektar di negeri Perak untuk pembangunan ladang hutan yang didakwa mempunyai unsur penyalahgunaan kuasa.

Hamidah dilaporkan berkata, laporan itu dibuat susulan tular surat bertajuk ‘surat karam’ dalam media sosial memaparkan beberapa projek penerokaan hutan melibatkan individu yang mempunyai kaitan dengan kerajaan negeri.

Dakwanya, terdapat tiga kelulusan melibatkan 1,200 hektar, tetapi difahamkan banyak lagi kelulusan yang diberikan oleh kerajaan negeri untuk pembangunan ladang hutan kepada individu berkepentingan.

Serentak itu, SPRM mengesahkan satu siasatan akan dijalankan berhubung isu skandal tanah itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Ahmad Khusyairi Yahya dilaporkan berkata, ia susulan penyebaran surat bertajuk ‘surat karam’ di media sosial baru-baru ini.

Justeru, menurut Azhar, Amanah Perak mengalu-alukan maklum balas SPRM untuk menyiasat kes itu.

Jelas beliau, Amanah negeri itu juga berharap SPRM dapat menyegerakan siasatan dan dibuat secara telus.

“Sekiranya kes ini mempunyai bukti yang kukuh, mereka yang telibat wajar diheret ke muka pengadilan,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: