PETALING JAYA: Bekas setiausaha politik Anwar Ibrahim, Ezam Mohd Nor berkata, beliau mahu menghidupkan semula gelombang gerakan reformasi 1998 dengan majlis pelancarannya dijadualkan di Tanjung Rambutan, Perak, esok.
Ezam berkata, hasrat menggerakkan semula gerakan itu dibuat selepas mendapat maklum balas positif daripada ahli parti, khususnya PKR, serta penyokong di peringkat akar umbi semasa melakukan jelajah di semenanjung dari Januari hingga Mac lepas.
“Kita hendak kembali ke landasan, semangat asal tahun 1998. Kita hendak hidupkan semangat kawan-kawan yang ada pada era 1998, untuk menjadi pelengkap dan membantu kepada parti dan badan bukan kerajaan (NGO) sedia ada.
“Sejak kebelakangan ini, selain isu khianat, yang ditangkap akibat rasuah juga lepas, seolah-olah suasana 1998 itu kembali semula,” katanya kepada FMT merujuk kepada beberapa keputusan mahkamah membebaskan bekas pemimpin Barisan Nasional (BN) daripada pertuduhan rasuah.
Gerakan refomasi pada 1998 merujuk kepada gerakan rakyat yang tercetus selepas Anwar Ibahim dipecat daripada jawatannya sebagai timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno susulan perselisihan dengan perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad.
Ezam berkata, beliau sudah tidak nampak halangan untuknya membantu perjuangan PKR dan mengangkat semula presiden parti itu, Anwar, sebagai satu-satunya pemimpin yang bersungguh-sungguh melaksanakan agenda reformasi.
“Jadi sentimen dari akar umbi memang semuanya mahukan Anwar untuk memimpin negara. Hal ini kerana dia tokoh terbaik untuk lakukan agenda reformasi sekarang ini. Bahkan, faktor paling besar saya keluar dahulu juga sudah tidak ada dalam PKR.
“Kita tidak ada pilihan, kita perlu tolak semua perbezaan terlebih dahulu untuk kita pastikan reformasi ini berjaya. Agenda reformasi ini tidak boleh gagal lagi. Saya buat ini juga kerana tidak mahu agenda reformasi ini gagal lagi, sebab itu saya kembali,” katanya.
Ezam adalah antara tonggak utama penubuhan Parti Keadilan Nasional pada 1999 yang kemudian dijenamakan sebagai PKR pada 2004. Beliau ketika itu merupakan ketua Angkatan Muda parti itu.
Beliau kemudiannya meninggalkan parti selepas hampir sedekad berikutan krisis dengan Anwar dan naib presiden PKR ketika itu, Mohamed Azmin Ali untuk menyertai Umno yang ketika itu dipimpin oleh Abdullah Ahmad Badawi pada Mei 2008.
Ezam keluar Umno pada Oktober 2016 serta meletak jawatan sebagai pengarah komunikasi di Kementerian Kewangan kerana didakwa tidak bersetuju dengan beberapa isu, antaranya 1MDB.
Beliau berkata, majlis pelancaran akan dibuat di Tanjung Rambutan dan selepas itu di Gombak, Selangor, yang merupakan kubu kuat bekas timbalan presiden PKR, Azmin yang sebelum ini dilihat sebagai penggerak utama kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) awal tahun ini.
“Kita pilih Gombak kerana kita merasakan orang di Gombak perlu diberikan penerangan, kenapa perlu mereka tolak ahli Parlimen Gombak.
“Kita nak semua faham bahawa dia memberi kembali kuasa kepada kelompok korup yang sebelum ini kehilangan kuasa. Tindakannya bercanggah dengan agenda reformasi, kena tinggalkan dia kerana dia lakukan dosa besar dalam perjuangan reformasi,” katanya merujuk kepada Azmin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan