Isnin, 18 Mei 2020

Thomas sahkan tulis tentang penyelesaian Riza, tapi tak mahu khianah ‘amanah PH’


PETALING JAYA: Bekas peguam negara Tommy Thomas hari ini mengesahkan beliau beritahu timbalan pendakwa raya kanan, Gopal Sri Ram bahawa beliau sedia mempertimbangkan representasi bagi Riza Aziz untuk menggugurkan pertuduhan terhadap penerbit Hollywood itu sekiranya beberapa syarat dipenuhi, termasuk mendapatkan kembali lebih AS$100 juta milik 1MDB.

“Itu memang gaya saya. Setelah membaca surat itu, saya tulis beberapa perkataan atau ayat kepadanya. Saya tiada akses ke surat asal dengan tulisan tangan saya itu. Kerana kekurangan ini, saya tidak dapat mengulasnya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau merujuk kepada kenyataan penggantinya, Idrus Harun semalam mengatakan beliau diberi nasihat bahawa Thomas bersetuju secara prinsip dengan cadangan itu.

Thomas, yang meletak jawatan pada 28 Feb susulan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan, bagaimanapun berkata beliau tidak membenarkan Riza dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) daripada tuduhan pengubahan wang sekiranya beliau masih menggalas jawatan itu.

Katanya, beliau akan hilang semua kredibiliti di mata rakyat jika meluluskan arahan itu.

“Saya akan mengkianati kepercayaan perdana menteri dan kerajaan Pakatan Harapan kepada saya,” katanya.

Riza dituduh dengan 5 tuduhan wang pengubahan wang sebanyak AS$248 juta yang dituduh dilakukan antara 2011 dan 2012.

Thomas berkata beliau berpuas hati pihak pendakwaan ada kes yang kuat untuk membuktikan unsur-unsur kesalahan terhadap Riza.

“Jejak dokumen cukup banyak dan boleh dipercayai,” katanya.

“Selepas pensabitan, pendakwaraya akan mengundang hakim perbicaraan untuk menjatuhkan hukuman yang sepadan dengan keterukan kesalahan, maksimum 15 tahun bagi setiap tuduhan.”

Beliau berkata mahkamah juga akan mengenakan penalti sehingga 5 kali jumlah yang terlibat dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang itu, mungkin sekitar AS$1.2 bilion.

Beliau menambah beliau tiada buat keputusan berhubung representasi Riza sehingga hari beliau meletakkan jawatan.

“Saya akan buat keputusan sepenting ini yang melibatkan berbilion ringgit dan kepentingan awam secara bertulis. Tidak ada buat, dan tidak wujud,” tambahnya.

Beliau berkata beliau tidak berhubung dengan Idrus sejak meninggalkan pejabat itu tetapi ada beberapa kali bercakap dengan Sri Ram melalui telefon antara 28 Feb dan 14 Mei.

“Tetapi beliau tidak pernah timbulkan hal itu. Jadi selepas peletakan jawatan saya, saya tidak tahu perkara itu dan perkara lain.”

Mengenai kenyataan Idrus semalam bahawa “Malaysia dijangka dapat kembali AS$108 juta”, Thomas berkata ia untuk menghalakan tumpuan.

“Kita jalin hubungan yang kuat dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat selepas saya jadi peguam negara. Mereka sudah pulangkan berbilion ringgit, dan DoJ akan serahkan lebih banyak lagi pada masa depan,” katanya.

Beliau menambah tujuan mendakwa Riza bukan untuk meninggikan peluang Malaysia mendapatkan wang daripada DoJ kerana agensi itu akan memulangkannya kreana ia milik negara.

“Riza tidak menawarkan untuk membayar sebarang wang baru atau wang dari sebarang sumber selain daripada aset yang disita DoJ. DoJ memang akan serah AS$108 juta itu kepada Malaysia,” katanya, dan menambah Riza tidak patut dipuji kerana memulangkan wang yang bukan miliknya.

“Oleh itu, ia perjanjian yang baik untuk Riza tetapi tidak bagi Malaysia,” katanya.

Beliau juga bercakap tentang keperluan untuk mempersoalkan kenapa penerbit itu diberi DNAA secara pramatang.


Tiada ulasan: