Isnin, 11 Mei 2020

Sudah masanya tukar MyKad ke bentuk digital

Wan Noor Hayati Wan Alias
WhatsApp-Image-2020-02-22-at-14
Dr Mizan Mohammad Aslam
KUALA LUMPUR – Sejajar era revolusi digital, sudah tiba masanya MyKad ditukarkan ke bentuk digital menggunakan teknologi pengecaman biometrik dan retina mata.

Penganalisis Kajian Strategik dan Keselamatan Negara Professor Madya Dr Mizan Mohammad Aslam berkata, cadangan itu bagi menangani isu penjualan MyKad yang membimbangkan sehingga mengakibatkan wujud kelompok warganegara ekspres di negara ini.

Katanya, menerusi pelaksanaan MyKad digital, tahap keselamatan boleh dipertingkatkan dengan kos minimum kerana tidak memerlukan kad seperti sekarang.

Artikel berkaitan: 944 MyKad ‘ghaib’ dalam sehari, selamatkah data kita?

“Negara memiliki pakar pembangun sistem serta cerdik pandai tempatan untuk diberi peluang menyumbangkan kepakaran mereka dalam membangunkan MyKad digital ini.

“MyKad yang ada ketika ini menggunakan kepakaran luar negara yang pastinya tiada jaminan dari segi keciciran atau pencerobohan maklumat.

“Hanya memerlukan integrasi sistem sedia ada dengan ciri pengecaman biometrik dan retina mata mungkin boleh ditambah pengecaman DNA pada masa depan.

“Teknologi pengecaman ini sudah wujud di pintu masuk negara, kenapa tidak dipraktikkan kepada MyKad bagi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara?,” katanya kepada wartawan.

Mizan baru-baru ini melahirkan kebimbangan tentang tahap keselamatan MyKad kerana data kehilangan dokumen itu yang luar biasa dilaporkan, dibimbangi berkait rapat dengan kegiatan penjualan MyKad kepada warga asing.

Mengikut data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sebanyak 1.7 juta unit MyKad dilaporkan hilang kerana kecuaian atau jenayah, dalam tempoh lima tahun antara 2015 hingga 2019 atau 944 keping MyKad hilang dalam sehari.

Artikel berkaitan: Tubuh RCI siasat pengeluaran MyKad palsu

Dalam pada itu, MyKad digital menggunakan teknologi Big Data Analytics, AI dan Internet of Things (IoT) mampu mengesan sebarang penipuan atau pemalsuan.

“Kaedah ini menyebabkan sukar data dimanipulasi sekaligus jadikan kita selangkah ke hadapan berbanding negara-negara lain,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: