POLIS akan membuat permohonan menyambung reman selebriti dan penyampai radio, Patrick Teoh di Mahkamah Majistret Johor Bahru, esok.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, permohonan sambung reman itu disebabkan Teoh, 73, enggan memberikan kerjasama dalam siasatan yang dijalankan.
"Tempoh tahanan reman sampai esok tetapi kita masih belum dapat melengkapkan kertas siasatan sebab Patrick Teoh ini tidak memberi kerjasama.
"Semua password (kata laluan) dia lupa termasuk untuk emel. Telefon bimbitnya pula didakwa hilang sehari sebelum dipanggil untuk siasatan.
"Jadi mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, kita akan memohon reman antara tiga atau empat hari lagi," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.
Teoh sebelum ini ditahan di Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu lalu sebelum dibawa ke bandar raya ini untuk direman sejak Ahad lalu.
Dia ditahan berhubung muat naik kenyataan jelik terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan institusi diraja Johor.
Mengulas lanjut, Ayob Khan meminta masyarakat menghayati Rukun Negara sebelum mahu memuat naik kenyataan jelik yang menyentuh institusi beraja negara.
"Balik baca semula Rukun Negara, mana yang terlupa memuat naik komen jelik, bahasa kasar dan kurang ajar selalunya mereka tidak hayati Rukun Negara.
"Jika tidak, tindakan tegas menanti golongan yang biadap sebegini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan