Seorang Adun Bersatu Selangor mendakwa anggota parti itu di peringkat akar umbi menolak sebarang cubaan memecat Dr Mahathir Mohamad atau mana-mana pemimpin yang tidak memihak kepada presiden mereka, Muhyiddin Yassin.
Menurut Adun Kuang, Sallehudin Amiruddin, rakyat sudah bersuara dan memberi mandat untuk memilih Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.
Ketika mendapat mandat itu, katanya, Bersatu dan PH diterajui oleh Mahathir.
"Ingkar terhadap mandat rakyat merupakan penderhakaan terhadap tunggak demokrasi yang dipegang kukuh sejak merdeka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
"Akar umbi mengutuk dan menentang sebarang niat atau rancangan untuk memecat Mahathir atau Mukhriz atau mana-mana ahli Bersatu yang tidak menyokong Muhyddin," tambahnya.
Sallehudin berkata demikian sebagai menyanggah kenyataan Pengerusi Bersatu Selangor, Abdul Rashid Asari, pada 18 Mei lalu yang menyatakan sokongan negeri berkenaan kepada tindakan Muhyiddin mengambil alih jawatan pengerusi parti daripada Mahathir.
Merujuk kepada kenyataan Abdul Rashid itu, Sallehudin menafikan akar umbi Bersatu Selangor menyokong tindakan Muhyiddin itu
"Adalah dengan ini saya mewakili akar umbi Bersatu Selangor menyangkal sebarang sokongan terhadap Muhyiddin sebagai pemangku pengerusi Bersatu.
"Akar umbi Bersatu juga berdiri teguh dan menyokong sepenuhnya kepemimpinan Mahathir sebagai pengerusi," katanya lagi.
Bertentangan dengan prinsip
Sebelum ini beberapa ketua bahagian Bersatu di Selangor juga menyangkal kenyataan Abdul Rashid dan mendakwa pendirian tersebut berbeza daripada keputusan bersama yang dicapai dalam pertemuan parti itu pada 13 Mei lalu.
Isu jawatan pengerusi menjadi perhatian apabila ia melibatkan dua pemimpin yang berbeza pandangan mengenai kedudukan Bersatu dalam kerajaan.
Ketika Muhyiddin - yang membawa Bersatu meninggalkan PH - mengadakan kerjasama dengan Umno, Mahathir pula memilih untuk menolak langkah tersebut.
Malah Mahathir mengemukakan usul tidak percaya kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri menjelang sidang parlimen baru-baru ini. Usul itu bagaimanapun tidak dibentang atau dibahaskan apabila sidang parlimen hanya berlangsung selama kira-kira sejam saja.
Untuk rekod perlembagaan Bersatu menyatakan kedudukan tertinggi dalam parti ialah pengerusi dan kuasanya mengatasi jawatan presiden.
Mahathir sudah memenangi jawatan pengerusi Bersatu tanpa bertanding baru-baru ini. Namun Jabatan Pendaftaran Negara (ROS) berpendapat Muhyiddin berhak memangku jawatan berkenaan ekoran pengunduran Mahathir sebelum ini.
Bagaimanapun selepas meletakkan jawatan, Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu menolak peletakan jawatan Mahathir.
Berbanding Muhyiddin, Mahathir bagaimanapun hanya mendapat sokongan daripada segelintir ahli parlimen saja.
Antara mereka ialah Mukhriz Mahathir yang juga timbalan presiden Bersatu, bekas timbalan menteri kewangan, Amiruddin Hamzah; serta bekas menteri pendidikan, Dr Maszlee Malik.
Sallehudin berkata akar umbi Bersatu Selangor melihat tindakan Muhyiddin membawa parti itu keluar dari PH adalah penderhakaan mutlak terhadap mandat rakyat.
"Ia jelas bertentangan dengan prinsip, semangat dan komitmen yang diperjuangkan Bersatu selama ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan