Jumaat, 20 Disember 2019

Puteri UMNO bidas cadangan ERC mansuh PRK

Manzaidi Mohd Amin
MGF05122019_PAU-201909
Zahida Zarik Khan


KUALA LUMPUR – Puteri UMNO Malaysia menyifatkan cadangan Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) untuk memansuhkan Pilihan Raya Kecil (PRK), sebagai menafikan sistem demokrasi.

Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, cadangan supaya parti penyandang bagi kawasan itu memilih di kalangan pemimpin mereka sebagai wakil rakyat pengganti juga tidak masuk akal.

“Mudahnya ERC dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hendak menyelamatkan kerusi yang dimenangi Pakatan Harapan (PH) jika berlaku kekosongan akibat kematian atau keputusan mahkamah.

“Di mana suara mereka yang selama ini melaungkan demokrasi, sedangkan apabila berlaku banyak kekosongan, tiba-tiba membuat cadangan yang berpihak kepada mereka?

“ERC dan SPR tidak boleh sewenang-wenangnya hendak menghapuskan pilihan raya kecil atas nama reformasi sistem pilihan raya negara ini,” bidas beliau menerusi status yang dimuatnaik dalam akaun Facebooknya, hari ini.

Beliau membidas kenyataan Pengerusi ERC, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman semalam, yang dilaporkan berkata, mengikut sistem baharu yang dicadangkan, kekosongan kerusi Parlimen akan diisi secara automatik oleh parti politik penyandang kerana semasa pilihan raya, rakyat akan memilih parti, bukan lagi calon individu.

Menurut Zahida, sekarang rakyat tidak perlukan pemansuhan PRK, tetapi bubarkan Parlimen dengan segera dan serahkan semula kuasa memilih kepada rakyat.

“Adakah disebabkan calon PH selalu kalah dalam PRK menjadikan mereka takut untuk bertanding dan cubaan meminda peraturan bagi menafikan hak rakyat memilih secara demokrasi?

“Mungkinkah penambahbaikannya akan diadakan PRK bila kekosongan kerusi diwakili pembangkang sahaja?,” soal beliau. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: