Jumaat, 20 Disember 2019

Bantahan Jawi: Jika Dong Jiao Zong mahu cetus kekacauan, buatlah – PM

Norlaile Abd Rahman
MG201219_KL-SUMMIT16
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengaminkan doa semasa menunaikan solat Jumaat pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK
 

KUALA LUMPUR- Tindakan Dong Jiao Zong menganjurkan demonstrasi bantahan tulisan Jawi hanya akan mencetuskan kemarahan orang Melayu.

Orang Melayu seterusnya akan mendesak supaya sekolah-sekolah vernakular ditutup dan ini membuatkan perbalahan antara kaum di Malaysia tidak akan berpenghujung.

Menurut Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, semua pihak seharusnya bertimbang rasa dan sensitif terhadap satu sama lain.

“(Demonstrasi) tersebut hanya akan menyebabkan orang Melayu mengadakan kongres mereka sendiri dan bercakap mengenai penutupan sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan sebagainya.
“Jika anda buat begitu, anda akan mengundang maklum balas (kemarahan) sedangkan Malaysia adalah sebuah negara berbilang bangsa.

“Penting kepada kita semua supaya bertimbang rasa kepada isu-isu kaum lain. Jika satu hari anda mahu membuat satu perkara yang sangat-sangat kecinaan maka orang Melayu pula akan memberi respon dengan membangkitkan isu-isu Melayu seperti penutupan sekolah jenis kebangsaan dan sebagainya.

“Jika di negara lain, anda sudah bergaduh sesama sendiri dan perlu dileraikan dengan gas pemedih mata.

“Jika mahu jadi seperti itu, buatlah,” katanya ketika ditanya berhubung rancangan Dong Jiao Zong untuk berdemonstrasi membantah tiga muka surat pengenalan pelajaran jawi bagi murid tahun empat bermula tahun depan pada 28 Disember ini.

BACA: Dong Jiao Zong anjur persidangan pertubuhan Cina bantah tulisan Jawi

Perdana Menteri sebelum itu meluangkan kira-kira 20 minit untuk melawat Pusat Media Antarabangsa Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di sini hari ini.

Ketika ditanya, apakah rancangan Dong Jioa Zong itu boleh dihalang oleh pihak berkuasa, Mahathir berkata, Malaysia adalah sebuah negara bebas yang mengamalkan kebebasan bersuara.

Namun begitu, semua pihak perlu sentiasa sensitif terhadap orang lain bagi mengelakkan berlakunya kekacauan yang akan menganggu kestabilan negara.

“Jika anda mula menuduh satu-satu kaum atau bertindak melanggar Perlembagaan Persekutuan, hasilnya akan berlakulah kekacauan dan ianya akan menggugat kestabilan negara.

“Ini akan menyebabkan negara menjadi miskin manakala rakyat Malaysia pula akan mula berhijrah ke negara-negara lain,” tegasnya.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: