Selasa, 6 Ogos 2019

Wong Tack seru rakyat bersatu 'dapatkan semula kerajaan'

MALAYSIAKINI

   
Ahli parlimen DAP Wong Tack menyeru rakyat bersatu dan berjuang untuk "mendapatkan semula pemilikan kerajaan" untuk membawanya ke arah yang betul.

Kata ahli parlimen Bentong itu, apabila usaha untuk menyelesaikan sesuatu isu melalui saluran dalaman gagal, adalah penting bagi rakyat turut terlibat.

"Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah rakyat mesti berjumpa dengan ahli parlimendan ahli dewan undangan negeri masing-masing untuk menuntut mereka membuat pendirian dan bercakap mengenai Lynas," katanya kepada Malaysiakini petang ini.

"Kita tidak boleh menyalahkan kerajaan jika kita sendiri tidak mempunyai keberanian untuk bersuara. Rakyat juga mesti menjadi sebahagian daripada proses membuat keputusan. Kita memerlukan suara kolektif yang kuat.

"Dalam Malaysia baru, sesuatu keputusan, terutama yang akan memberi kesan buruk kepada kesejahteraan anak-anak dan persekitaran kita, tidak boleh hanya diserahkan kepada orang di atas," katanya.

Wong Tack juga menolak gesaan MCA yang mendesaknya untuk meletakkan jawatan selepas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa pembaharuan lesen operasi Lynas bergantung kepada rancangan syarikat itu untuk menangani sisa radioaktifnya.

Menurut Wong Tack, MCA tidak mempunyai kedudukan moral untuk membuat permintaan seperti itu.

"Kedua, adakah ini benar-benar apa yang rakyat mahu? Meminta semua orang yang mengambil pendirian untuk meletakkan jawatan? Bukankah ini akan mengakibatkan kerajaan hanya terdiri daripada 'pak turut'?

"Bukankah ini akan mewujudkan kerajaan yang terdiri daripada orang yang tidak bertanggungjawab yang akan mempunyai kebebasan sepenuhnya untuk melakukan apa sahaja yang mereka mahu?" katanya.

Tambahan pula, Wong berkata meletakkan jawatan bererti mengalah pada "propaganda musuh rakyat" yang menyebabkan rakyat bertindak terhadap melawan kepentingan sendiri.

"Kerana (mereka menyebabkan) rakyat menyerang pihak yang berjuang untuk melindungi kepentingan mereka," katanya.

Naib Presiden MCA Ti Lian Ker sebelum ini menggesa Wong Tack dan ahli parlimen Kuantan Fuziah Salleh untuk meletakkan jawatan, dengan mendakwa kedua-dua pemimpin itu menggunakan sentimen anti-Lynas untuk menang dalam pilihan raya umum lalu.

Ti berkata pilihan raya kecil perlu diadakan untuk kedua-dua kerusi yang disandang Wong Tack dan Fuziah untuk mengukur sokongan orang ramai terhadap kerajaan Pakatan Harapan memandangkan perkembangan baru berhubung isu Lynas.

Lesen Lynas untuk mengendalikan loji mereka di Gebeng, Pahang, akan tamat pada 2 September.

Bagaimanapun, Malaysiakini dimaklumkan bahawa lesen Lynas mungkin dilanjutkan selama enam bulan untuk membolehkan Lynas mengemukakan rancangan pelupusan sisa kilang mereka.

Tiada ulasan: