Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) mendedahkan beberapa pasukan bola sepak dalam negara masih mempunyai tunggakan gaji kepada para pemain sehingga mencecah RM6.4 juta secara keseluruhannya.
Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail berkata perkara itu menjadi simbol sebuah kegagalan urus tadbir yang profesional dalam kalangan pasukan di Malaysia.
Beliau juga percaya, jika isu itu masih gagal diselesaikan industri bola sepak negara tidak mampu untuk bergerak ke arah Pelan Hala Tuju Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), F30 mahupun NEX50.
"RM6.4 juta ini adalah bukti betapa industri bola sepak kita sedang tenat atau mungkin ia tidak lagi mapan untuk bergerak sebagai sebuah industri.
Sehubungan itu, Izham menegaskan, pasukan-pasukan yang berhutang perlu bertanggungjawab dan tidak mencari alasan untuk melengahkan atau mengelak daripada membuat bayaran.
"Bayangkanlah kegetiran dan kepayahan yang dihadapi oleh para pemain untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka. Pandanglah mereka sebagai manusia, bukannya sebagai hamba.
"Jika itu pun bukan lagi menjadi asbab untuk pasukan-pasukan ini melangsaikan hutang, ternyata bola sepak Malaysia bukan sahaja sudah hilang nilai profesionalnya, tetapi juga sudah kehilangan jiwa kemanusiannya," katanya.
Menurutnya, nilai tunggakan RM6.4 juta itu juga masih belum menggambarkan angka sebenar hutang dalam industri bola sepak negara memandangkan ia hanyalah tunggakan yang dilaporkan pemain dan PFAM percaya jumlah tersebut hakikatnya adalah lebih besar jika melibatkan barisan kejurulatihan dan pemain import.
"Begitu juga maklumat-maklumat tidak rasmi yang diterima oleh PFAM, tetapi para pemain masih berdiam kerana ingin memberi masa kepada pasukan," katanya.
Di samping itu, Izham berkata, PFAM berasa amat kecewa memandangkan sebelum ini pasukan terbabit menggunakan alasan sedang menunggu wang geran hak penyiaran daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk menyelesaikan hutang, namun pasukan terlibat masih gagal membuat bayaran meskipun wang telah diberikan MFL.
"Pasukan seperti Melaka, Kelantan, Negeri Sembilan dan Pahang masih berdiam diri berhubung perkara ini, malah ada juga pasukan yang membuat perjanjian untuk bayaran secara berperingkat kepada pemain, namun masih melanggar perjanjian tersebut seperti pasukan ATM, PDRM dan Felda FC," katanya.
Selain itu, menurut Izham, nasib para pemain daripada pasukan-pasukan yang telah ditutup terus terpinggir dan tidak terbela.
"Pemain-pemain Perlis, TCFC (Terengganu City), Hanelang, Kuantan FA dan Marcerra United terus berada dalam keadaan yang tidak menentu kerana kelompongan struktur sedia ada yang tidak memberi sebarang jaminan terhadap nasib para pemain ini.
"PFAM menyeru perhatian kerajaan negeri, jika ini langkah terakhir, untuk tampil memberikan bantuan berhubung perkara ini. Lihatlah ia sebagai isu rakyat dan bukan sekadar masalah bola sepak," katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan