SEMUA ilmuan Timur dan
Barat secara ikhlas tanpa fanatik dan prejudis, mengakui peranan Islam
mencipta tamadun yang menjadi asas kepada kemajuan dunia terkini.
Namun, munculnya tanda-tanda kemusnahan
tamadun sekarang kerana mengambil manfaat daripada tamadun Islam secara
tidak sempurna dengan mengubah kepada konsep sekularisme yang menolak
atau memisahkan hubungan dengan agama, khususnya Islam itu sendiri.
Tamadun Islam berpandukan ilmu dan iman
mengikut petunjuk wahyu pertama kepada Nabi Muhammad S.A.W. dalam
permulaan Surah Al-‘Alaq:
اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ١
خَلَقَ الْإِنْسَانَ مِنْ عَلَقٍ٢ اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ٣ الَّذِي
عَلَّمَ بِالْقَلَمِ٤ عَلَّمَ الْإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ٥[العلق: 1-5]
“Bacalah (wahai Muhammad) dengan
nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)(1) Ia menciptakan
manusia dari sebuku darah beku;(2) Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha
Pemurah,(3) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan,(4) Ia
mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya(5)” [Al-Alaq: 1-5]
Ayat ini menegaskan semua ilmu itu
dengan nama Tuhan, perlunya membaca dan alat tulis serta menuntut ilmu
bersama hidayah (petunjuk Allah), bukan akal sahaja.
Konsep ilmu diluaskan kepada mencari dan
menerima semua yang positif daripada seluruh pelosok dunia walaupun ke
negeri China yang dikira paling jauh pada zaman dahulu, dan menolak
segala yang negatif sekalipun datang daripada Makkah dan Arab.
Tamadun Islam juga tidak sama dengan
tamadun bangsa dan negeri lain yang tidak boleh dibanggakan dengan
warisan tamadun yang menjadi kunjungan pelancong hari ini, seperti
Piramid Mesir, Tembok Besar China, kota-kota Rom dan Parsi, termasuk Taj
Mahal daripada orang Islam sendiri kerana dibangunkan dengan
memperhambakan rakyat yang dikorbankan dan harta negara yang dirompak
serta dicuri.
Islam mencipta tamadun ilmu yang
bermanfaat kepada manusia berlandaskan konsep Iman (akidah), Islam
(syariat) dan Ihsan (akhlak), berkebajikan dan adil terhadap semua,
serta menunaikan hak mereka tanpa melampau. Maka tamadun Islam yang
berasaskan ilmu itu telah mewujudkan konsep politik, ekonomi, sains dan
teknologi yang saksama.
Politik Islam ditunjukkan kepada seluruh
dunia dengan melaksanakan konsep berkebajikan yang menyeluruh dalam
politik syura dan nasihat membina yang diwajibkan kepada semua pemimpin
dan rakyat. Hal ini lebih beradab daripada demokrasi Barat.
Adapun sistem ekonomi Islam yang menjaga
hak individu, keluarga dan masyarakat, berbeza dengan semua ideologi
Timur dan Barat, sehinggalah berjaya mencipta kemajuan sains dan
teknologi serta segala alatnya dengan menjaga sempadan yang tidak
melampau sehingga memusnahkan manusia dan alam sekitar.
Islam mendahului beberapa abad Revolusi Industri di negara Barat yang banyak menumpang selepas mereka menjajah dunia Islam.
Tamadun Islam pula mempengaruhi tulisan
bahasa sesuatu bangsa yang menganut Islam dengan menggunakan huruf Arab
bahasa Al-Quran, seperti bahasa Turki, Parsi, Urdu, Swahili dan
lain-lain.
Semua bangsa itu telah bangkit bersama
Islam dengan bahasa masing-masing, serta menubuhkan negara yang
bersejarah di tempat masing-masing tanpa menghilangkan bangsa dan
bahasanya yang tetap bersama Islam.
Tulisan jawi menggunakan huruf Arab dan
huruf tambahan semua sebutan bahasa dunia, sehingga terpaksa digabungkan
oleh bahasa lain dengan dua huruf, menunjukkan kesempurnaannya yang
sangat hebat. Sehinggalah huruf jawi menjadi tulisan nusantara dalam
pelbagai bahasa etnik, bukan sahaja Melayu, termasuk Jawa, Acheh, Bugis,
Tagalog dan Cham.
Perkembangan ilmu di seluruh nusantara
dengan tulisan jawi menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan
bahasa perantaraan di rantau ini. Maka tidak ragu-ragu lagi dengan
adanya penemuan yang dicuri oleh Barat masih tersimpan di negara-negara
Inggeris, Belanda, dan Perancis. Bukan sahaja dalam ilmu agama dan
sastera, bahkan termasuk ilmu perubatan dan lain-lain. Bahkan tawanan
Melayu yang dipaksa belayar mengelilingi dunia oleh kapal penjajah
membawa ketinggian keilmuan ini dalam pelayaran, ketenteraan dan
sebagainya.
Tulisan jawi mendekatkan penganut Islam
dengan pendidikan agama Islam dan bahasa Al-Quran, sehingga penduduk
pelbagai kaum di nusantara membaca Al-Quran dengan fasih seperti orang
Arab.
Jangan jadi Melayu yang lupa bahawa
dokumen Perjanjian Pangkor yang malang dan banyak surat rasmi kerajaan
pada zaman penjajahan menggunakan tulisan jawi, sehingga kedai pajak
gadai kepunyaan Cina juga dengan tulisan jawi.
Mendiang Lee Kuan
Yew, pemimpin Singapura dan Dr. Tan Seng Giaw, mantan pemimpin DAP
mampu menulis dengan tulisan jawi, menunjukkan tulisan jawi dirasmikan
dalam amalan politik, ekonomi dan sosial. Maka sedarlah bahawa penjajah
melaksanakan agenda menghapuskan tulisan jawi dalam agenda penjajahan
dan permusuhannya terhadap Islam dan penganutnya. Tegasnya bahawa musuh
tulisan juga adalah musuh Islam.
Segala usaha menghidupkan tulisan jawi
adalah mulia dan murni yang menunjukkan ada jiwa agama dan bangsanya.
Sangat nyata golongan yang menentangnya adalah anak-anak penjajah atau
wakilnya yang masih berada di sini, walaupun penjajah Barat itu
dikatakan sudah pulang ke negara asal mereka.
Akhirnya, menghidupkan tulisan jawi
adalah sebahagian daripada usaha mengisi kemerdekaan yang dicapai.
Almarhum Dr. Burhanuddin Al-Helmy pernah berpantun:
Di atas robohan Kota Melaka,
Papan di Jawa kita dirikan,
Di atas penjajahan di negara kita,
Jiwa merdeka kita tegakkan.
“Islam Memimpin Perpaduan”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
– HARAKAHDAILY
Presiden PAS
– HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan